PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon tidak menyesal menggunakan gaya permainan secara terbuka dalam kekalahan 0-4 mereka kepada pasukan ranking ke-87 dunia, Jordan, pada perlawanan Kumpulan E di Piala Asia Qatar pada Selasa lalu.
Jordan disifatkan pasukan yang mampu ditandingi daripada tiga lawan Malaysia dalam Kumpulan E namun jelas kelihatan jurang besar antara Malaysia dan pasukan Timur Tengah di Stadium Al Janoub, Doha pada Isnin.
Malaysia yang berada di kedudukan ranking terendah dalam Kumpulan E di tangga ke-130 FIFA sudah berdepan masalah besar apabila Jordan mendahului 2-0 selepas hanya 20 minit perlawanan.
Bolos awal pada babak pertama itu membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya sama ada pengendali Korea Selatan berkenaan akan menyelamatkan pasukan negara dengan bermain secara bertahan bagi elak dimalukan namun Pan-gon kekal bermain dengan gaya permainan menyerang.
Bagaimanapun, jurulatih Korea Selatan itu berkata, pendekatan 'parking bas' tidak akan membantu dalam pembangunan pasukan yang sebenarnya sudah mula menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu dengan mengamalkan corak permainan intensiti tinggi.
Antara aksi pemain Malaysia ketika tewas 0-4 di tangan Jordan pada Selasa. — Facebook/FAM
“Kami boleh bermain negatif (semasa aksi bersama Jordan)... kami boleh bermain lebih bertahan dengan tidak memberi tekanan di bahagian atas sebaliknya menunggu di bawah.
"Tetapi ia tidak membantu masa depan pasukan. Jadi kami mengekalkan apa yang pasukan telah lakukan sejak dua tahun lalu, dan itulah yang kami kekalkan," katanya.
Pan-gon dijangka mengekalkan gaya permainan yang sama apabila mereka seterusnya menentang Bahrain dalam perlawanan penentuan kumpulan kedua di Stadium Jassim Bin Hamad Sabtu ini.
Bahrain yang menduduki tempat ke-86 dunia juga sedang mencari kemenangan pertama mereka selepas tumbang 1-3 kepada Korea Selatan.
“Bagi saya ia (kekalahan kepada Jordan) adalah pengajaran berguna buat kami, ia bagus untuk membuat persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia nanti.
"Ia satu pengajaran yang berguna dan kami akan perbaiki kelemahan untuk aksi kedua nanti," jelasnya.
Pan-gon akan mengekalkan taktikal permainan yang sama pada Sabtu ini. — Facebook/FAM
Harimau Malaya mesti memenangi perlawanan kedua menentang Bahrain bagi mengekalkan potensi mereka untuk mara ke peringkat kalah mati (16 terakhir).
Pan-gon menambah bahawa dia mahu pemainnya beraksi seperti pada separuh masa kedua menentang Jordan, ia merupakan persembahan yang jauh lebih baik berbanding separuh masa pertama.
“Aksi pada separuh masa kedua, walaupun kami bolos, adalah persembahan yang lebih baik dan begitulah cara kami bermain.
“Separuh masa pertama Jordan bermula dengan sempurna tetapi selepas itu kami kembali ke formasi asal.
“Kami akan membetulkan kesilapan kami dan beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Selepas Bahrain, pasukan negara akan menghadapi ujian paling sukar menentang pasukan nombor 23 dunia Korea Selatan yang diketuai bintang Tottenham, Son Heung-min pada 25 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram