
PERSEKUTUAN Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF) menerima cadangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) supaya setiap regu hanya memperoleh satu servis berbanding sekarang tiga kali.
Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader berkata, cadangan PSM itu diterima sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung pada 8 Disember lepas.
"Perubahan servis ini dilhat akan memeriahkan lagi persembahan setiap permainan dan sekali gus memberi semangat persaingan yang hebat dalam kalangan pemain dan pasti akan mengubah corak dan persembahan bagi setiap regu dalam pertandingan,” katanya dalam kenyataan ISTAF pada Isnin.
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat telah memutuskan sistem kiraan 15 mata bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari tahun depan, berbanding 2 Februari seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, maka satu daripada regu yang meraih mata ke-17 akan dikira sebagai pemenang.
Tekong hanya boleh membuat servis seorang sekali setiap regu tanpa mengira siapa yang mendapat mata namun dengan pindaan 15 mata mulai 1 Februari 2024. — Facebook/MSN
"Kalau perlawanan berlanjutan ke set ketiga atau pusingan ‘Tie-Break’ maka kedua-dua regu hendaklah membuat pertukaran petak gelanggang apabila mana-mana regu mencapai mata kelapan dan meneruskan perlawanan ke mata penamat,” katanya.
Abdul Halim berkata, sistem kiraan 15 mata yang dikembalikan semula ISTAF mampu menjimatkan tempoh perlawanan, prihatin dengan kebajikan pengadil dan menambah bilangan perlawanan dalam sehari.
Difahamkan, perubahan sistem kiraan mata itu adalah antara persediaan bagi sukan sepak takraw mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF turut membincangkan laporan daripada Jawatankuasa Teknikal Istaf berhubung cadangan sistem kiraan 15 mata bagi penetapan pemberian mata dalam borang kiraan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram