Selepas dibenam Australia, Young Tigers gagal ke suku akhir JWC


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Young Tigers gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir dalam kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada Jumaat.

SKUAD Young Tigers gagal meloloskan diri ke pusingan suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2023 selepas tewas 2-5 kepada Australia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Turun dengan misi wajib menang pada aksi terakhir Kumpulan A itu, Malaysia, pasukan nombor lapan dunia mempamerkan aksi longlai pada suku pertama yang menyaksikan Australia menjaringkan tiga gol awal untuk meranapkan impian pasukan negara untuk mara ke pusingan kalah mati.

Ia bermakna skuad Young Tigers seterusnya akan berdepan Mesir pada perlawanan klasifikasi 9-16 pada Isnin ini dengan harapan sekurang-kurangnya meraih tempat kesembilan manakala Australia sebagai naib juara kumpulan akan mencabar pemenang pingat gangsa edisi lepas, Perancis pada suku akhir, Selasa ini.

Pada aksi hari ini, juara edisi 1997, Australia, bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Cooper Burns, sebelum melebarkan jurang menerusi jaringan padang Jake Lambert empat minit kemudian dan pukulan sudut penalti Cambell Geddes pada minit ke-15.

Hoki 2

Pasukan muda hoki negara gagal layak ke pusingan suku akhir selepas tewas di tangan Australia dengan keputusan 2-5 pada Jumaat.

Skuad negara kendalian Muhamad Amin Rahim cuba bangkit dengan memperkemaskan corak perlawanan pada suku kedua apabila Mohammad Harris Iskandar Osman meledak gol padang pada minit ke-23, namun Lambert sekali lagi menghukum kecuaian bentang pertahanan menerusi jaringan padang minit ke-27.

Percubaan bertali-arus skuad Young Tigers pada suku ketiga, akhirnya membuahkan hasil apabila Shafiq Ikhmar Daniel menjaringkan gol padang pada minit ke-44, tetapi pasukan nombor sembilan dunia, Australia pantas membalas jaringan berkenaan dengan pukulan sudut penalti Geddes selang seminit kemudian.

Dengan kedua-dua pasukan tidak mampu menambah jaringan pada suku terakhir, Australia merekodkan kemenangan ke-10 dalam 15 pertemuan setakat ini, di mana Malaysia hanya menang dua kali.

Malaysia memulakan kempen dengan membelasah Chile 7-1 dalam aksi pertama pada Selasa, kemudian dibenam 0-4 oleh Argentina pada Rabu, manakala Australia yang tewas tipis 0-1 kepada Argentina, bangkit membelasah Chile 7-1 pada aksi sebelum ini.

Hoki 1

Keputusan akhir perlawanan di antara Australia dan Malaysia.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata, di belakang Argentina (9 mata) dan Australia (6 mata), manakala Chile di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas mara ke suku akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC ialah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979 serta 1982 dan 2013 manakala pada edisi lepas di Bhubaneswar, India, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis.

Terdahulu, juara bertahan Argentina berpesta gol 8-0 ke atas pasukan tercorot, Chile untuk mengesahkan kedudukan teratas kumpulan, sekali gus bakal mengulangi final edisi lepas menentang Jerman pada suku akhir, Selasa ini.

Bautista Capurro muncul wira hatrik buat pasukan nombor satu dunia itu menerusi jaringan gol padang pada minit ke-33 dan 39 serta menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-50, selain jaringan Ignacio Nardolillo pada minit ke-17, Matias Rey (21’), kapten Inaki Minadeo (55’), Nicolas Rodriquez (56’) dan Marco Aguirregomezcorta (60’).

Pada final JWC 2021, Argentina muncul juara buat kali kedua selepas menewaskan juara enam kali, Jerman 4-2 pada final. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JWC, Piala Dunia Remaja, Hoki, Malaysia, Australia