PERAK FC pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak tanah air dan antara musim yang menyaksikan zaman kemuncak The Bos Gaurus (TBG) adalah pada 2018-2019 dengan skuad TBG menjuarai Piala Malaysia 2018 serta pada tahun berikutnya dinobatkan sebagai naib juara Piala FA.
Antara pemain yang paling mencuri tumpuan ketika dua musim berkenaan ialah gabungan pemain tengah import, Leandro Dos Santos dan sentuhan tonggak warisan, Brendan Gan.
Gabungan duo tersebut bagaimanapun tidak disambung apabila Brendan memilih untuk berhijrah ke Selangor FC untuk saingan musim 2020 dan pemain yang dikenali sebagai 'Leo' atau 'Bull' itu seakan-akan merasai kehilangan 'partner' terbaik atas padang.
Berdasarkan laporan media pada Disember 2019, pemain Brazil itu bagaimanapun berkata, skuad Perak FC perlu meneruskan perjuangan dan mempercayai pemain lain dalam skuad itu.
Selain Brendan, pemergian Norhakim Hassan yang juga Selangor adalah satu lagi kehilangan besar kepada pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan ketika itu.
“Mereka adalah pemain yang hebat, profesional dan sangat komited, tetapi dalam bola sepak, pemain datang dan pergi.
“Saya mendoakan yang terbaik buat Brendan dan Norhakim. Kami berkawan, tetapi apabila mereka berdepan dengan kami, saya akan melihat mereka sebagai saingan.
“Persediaan pramusim berjalan lancar, dan kami mempunyai jurulatih kecergasan yang sangat baik di Sam (Pakiaraj), yang memastikan kami berada dalam keadaan terbaik,” kata Leandro kepada media pada empat tahun lalu.
Skuad TBG ketika musim 2019. — Facebook/Perak
Rentetan kehilangan dua pemain berkenaan, Leandro beraksi dengan pemain lain iaitu Kenny Pallraj atau Firdaus Saiyadi dan dia bersedia untuk membimbing mereka.
“Saya pernah bermain dengan Kenny sebelum ini, manakala Fie (Firdaus) masih muda dan lapar. Kedua-dua pemain mempunyai kualiti yang sangat baik.
“Bagi saya, jika anda bekerja keras dan kekal fokus semasa latihan, anda akan dipilih. Setiap kali jurulatih memilih anda, lakukan yang terbaik.”
Leandro mungkin tidak disenangi oleh lawannya kerana mempunyai reputasi dengan gaya permainannya yang mantap dan kebolehan untuk memprovokasi pemain dengan kata-kata dan sandiwaranya.
Namun bagi rakan sepasukan, dia sentiasa berperanan sebagai seorang ketua dan sentiasa menghidupkan suasana dengan jenaka dan ceramah motivasinya.
Jodoh Leandro dan Perak akhirnya terlerai pada musim 2021 susulan persetujuan gagal dicapai ekoran tunggakan gaji selama tiga bulan yang masih belum dilunaskan oleh pihak Perak FC ketika musim berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram