Ivan Mamut ada misi peribadi level 'internasionale' khas buat seluruh rakyat Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Ivan (tengah) berharap dapat membantu Terengganu menjulang trofi Piala Malaysia. — Facebook/TFC

PEMAIN dari Croatia, Ivan Mamut sudah memenangi trofi di tempat sendiri dan dengan pengalamannya itu diharap dapat membantu Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.

Dua musim lalu, penyerang berusia 26 tahun itu membantu kelab Romania, Universitatea Craiova untuk memenangi Piala Romania.

Kini, dalam musim pertamanya di Malaysia, Ivan teruja untuk bermain di final Piala menentang kelab gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Pemain berusia 26 tahun itu menyedari kekuatan permainan lawannya tetapi Ivan yang merupakan penjaring terbanyak Terengganu dalam Piala Malaysia dengan lapan gol berkata, dia tidak sabar untuk pentas final pertamanya di Malaysia.

“Dua tahun lalu, saya menang bersama Craiova. Ini tahun pertama saya di Malaysia dan saya di final. Jadi ia adalah perasaan yang baik. Saya sudah berkongsi pengalaman memenangi piala pada rakan sepasukan saya dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka semua.

“Sesetengah daripada mereka juga pernah mengalami perlawanan akhir sebelum ini, jadi kami tahu apa yang menanti kami. Perlawanan akhir adalah permainan sekali sahaja, sekarang atau tidak sama sekali. Jadi kami perlu memberi lebih daripada 100 peratus, terutamanya menentang pasukan seperti JDT.

“Perjalanan kami ke final adalah istimewa kerana kami menewaskan dua pasukan yang bagus seperti Selangor dan Kuala Lumpur. Dan kami mahu meneruskan momentum itu,” katanya.

WhatsApp Image 2023-12-08 at 11.26.21

Skuad Terengganu ketika sesi latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis. — Facebook/TFC

Ivan sudah bersedia untuk tugas berat menantinya bersama rakan sepasukan tetapi akan mempercayai rancangan jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner.

“Kami tidak boleh hilang fokus kerana JDT akan mengambil kesempatan jika kami melakukan kesilapan kecil.

“Mereka telah melakukannya dengan baik selama bertahun-tahun, jadi kami akan berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan bahawa kami boleh memenangi Piala Malaysia,” jelasnya.

Penyerang tinggi lampai itu menjadi pemain yang menyerlah untuk Terengganu musim ini, menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan, selain memberikan masalah di bahagian pertahanan lawan dengan ketinggian dan kekuatannya.

Ivan berkata, sembilan hari selepas perlawanan akhir, dia akan pulang ke kampung halamannya di Croatia untuk melawat orang tersayang.

“Mereka tidak boleh datang ke final kerana ia terlalu jauh tetapi saya pasti mereka akan menonton perlawanan itu di televisyen. Saya akan pulang tidak lama lagi, jadi saya tidak sabar dan berharap saya akan membawa berita baik untuk mereka,” kongsinya. — The Star//T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram