[VIDEO] CR7 tolak penalti, suruh pengadil semak VAR


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Tindakan murni Cristiano Ronaldo itu diberi pujian menggunung penyokong bola sepak antarabangsa. — Agensi

AKSI Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada awal pagi Selasa menyaksikan Al Nassr berdepan kelab Iran, Persepolis di Stadium Al-Awaal Park, Arab Saudi.

Meskipun perlawanan itu diingati dengan layangan kad merah kepada Ali Lajami yang merupakan bek tengah tuan rumah, momen membanggakan daripada tonggak pasukan, Cristiano Ronaldo menjadi bahan bualan ramai.

Pada minit kedua permainan, pemain antarabangsa Portugal itu kelihatan dijatuhkan di dalam kotak penalti lawan selepas kakinya dibentes ketika cuba mengejar bola.

Menyedari situasi tersebut, pengadil perlawanan, Ma Ning bertindak memberikan penalti kepada Al Nassr yang pantas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemain Persepolis.

Namun, Cristiano Ronaldo segera tampil dengan meminta supaya pengadil dari China itu menarik semula keputusan yang sepatutnya memberi kelebihan buat mereka.

Ma Ning kemudiannya bertindak menyemak semula kekasaran dibuat dengan merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR) di tepi padang sebelum membatalkannya.

Tindakan kapten Al Nassr tersebut sememangnya menerima pujian ramai memandangkan penalti berkenaan mampu memberikan kelebihan buat mereka dalam aksi kelima Kumpulan E ACL 2023/24.

Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang halangan buat kelab Arab Saudi berkenaan untuk mendapatkan mata meskipun terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas Ali Lajami dibuang padang pada minit ke-17 permainan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Al Nassr layak ke peringkat kalah mati ACL selepas meraih 13 mata daripada lima perlawanan kumpulan.

Mereka kini menyertai Al-Ain (UAE), Al Ittihad (Arab Saudi) serta Pohang Steelers (Korea Selatan) sebagai pasukan yang sudah menempah tiket ke peringkat seterusnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram