Hilang dari radar, nasib Luqman Hakim tak seperti Bagus, Suphanat


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Luqman Hakim ketika debut bersama KV Kortrijk pada Oktober 2020. — Instagram/Luqman Hakim

ISTILAH prospek dalam bola sepak sering digunakan kepada pemain muda yang mencuri tumpuan kerana bakat dan kualiti mereka sehingga pada akhirnya ramai meletakkan harapan agar ‘ubi muda’ berkenaan akan menjadi bintang terbaik pada suatu hari nanti.

Seawal usia muda, sebahagian prospek dengan gelaran wonderkid akan menerima pelbagai tawaran daripada pelbagai kelab domestik mahupun luar negara yang rata-ratanya ingin menjadi pasukan pertama menyerlahkan bakat mereka.

Meskipun ada pemain sewaktu mudanya mendapat perhatian daripada beberapa kelab terkenal tanah air dan luar negara, tidak dapat dinafikan ada di antara mereka yang semakin pudar dari negara masing-masing.

Ada yang mengatakan faktor seperti masalah kecederaan, pemilihan kelab dan gagal bersaing dikatakan menjadi punca sebilangan daripada bekas permata bola sepak berkenaan semakin hilang tempat.

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga bintang muda Asia Tenggara yang ada di antaranya kian hilang dari radar bola sepak dan ada juga kekal mendapat peluang daripada kelab.

1) Luqman Hakim

WhatsApp Image 2023-11-27 at 23.20.06-2

Luqman Hakim mencipta fenomena apabila menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijik. — Instagram/Luqman Hakim

Luqman Hakim Shamsudin antara nama bakat dari Malaysia yang pernah menggegarkan bola sepan rantau Asia Tenggara apabila dia mendapat tawaran ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk dengan mengikat kontrak lima tahun bersama kelab tersebut pada 2020.

Malah, penyerang prolifik Bawah 19 Tahun (B-19) negara itu juga pernah dalam senarai tahunan ‘Next Generation’ Guardian, selaku 60 pemain remaja berbakat terbaik pemain dan juga salah seorang daripada 80 bakat muda dari seluruh dunia untuk anugerah ‘Golden Boy’.

Ketika rakyat Malaysia menunggu Luqman Hakim untuk membina nama di Eropah, pemain berusia 21 tahun itu bagaimanapun hanya memanaskan bangku simpanan Kortrijk selama tiga tahun selepas menyarung jersi kelab Belgium tersebut.

Selepas hanya meraih tiga penampilan bersama skuad senior pasukan, Luqman Hakim memilih untuk mencari angin baharu dalam kariernya apabila bersetuju untuk dipinjamkan ke kelab Liga 2 Iceland, Njardvik FC dalam usaha mendapatkan minit permainan.

Nasib sama seperti di Kortrijk, Luqman Hakim hanya mengumpul 317 minit permainan untuk kesemua perlawanan yang disertai Njardvík dan menyumbang dua jaringan gol buat pasukan itu.

Dengan nasib tidak menyebelahinya di bumi Eropah, ramai penyokong tanah air berharap agar produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu akan mempertimbangkan tawaran lain termasuk beraksi di Asia mahupun Liga Malaysia.

2) Bagus Kahfi

WhatsApp Image 2023-11-27 at 23.20.06

Bagus ketika sesi latihan bersama Asteras Tripolis. — Instagram/Bagus Kahfi

Rakan sebaya Luqman Hakim di Indonesia, Bagus Kahfi merupakan penyerang muda Indonesia yang pernah meraih pelbagai pencapaian individu seperti mendapat anugerah sebagai Penjaring Terbanyak Piala AFF B-16 pada 2018 dan 2019.

Selepas beraksi bersama akademi Barito Putera sehingga terpilih ke skuad utama bagi saingan Liga 1 Indonesia, pemain berusia 21 tahun itu menyertai FC Utrecht pada 2021 dengan kontrak selama setahun namun hakikatnya dia dihantar ke pasukan simpanan Jong Utrecht.

Setelah dianggap tidak cukup berkualiti bagi mewakili kelab Belanda itu, Bagus tidak patah semangat untuk terus berkelana di Eropah dan meneruskan perjuangan di Liga Greece bersama-sama Asteras Tripolis pada Ogos 2022.

Tidak meraih sebarang minit permainan setelah semusim di Greece membuatkan penyerang berambut afro itu mengambil keputusan untuk kembali ke pasukannya lamanya, Barito Putera di saingan Liga 1 Indonesia.

Keputusan kembali ke tanah air itu ibarat mendapat nyawa kedua buat Bagus apabila dia berpeluang mendapatkan rentak permainan dengan beraksi dalam 19 perlawanan liga dan menyumbang tiga jaringan gol setakat ini.

3) Suphanat Mueanta

WhatsApp Image 2023-11-27 at 23.20.05-2

Suphanat beraksi bersama OH Leuven. — Instagram/Suphanat

Apabila bercakap mengenai pemain muda yang sedang meningkat naik di rantau Asia Tenggara, Suphanat Mueanta pasti tidak terlepas daripada pandangan penyokong bola sepak terutamanya dengan pelbagai pencapaian yang dikecapi.

Suphanat pernah memegang rekod sebagai penjaring termuda dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang mana dia menjaringkan gol pada umur 16 tahun ketika perlawanan menentang Beijing Guoan yang menyaksikan Buriram tewas dalam perlawanan tersebut.

Pemain berusia 21 tahun itu beraksi sebanyak 101 perlawanan bersama Buriram dan membantu menjaringkan 24 gol dan menyumbang 15 hantaran bantuan, selain memenangi kejuaraan Liga Thailand sebanyak tiga kali, Piala FA (dua kali) dan Piala Liga (dua kali).

Selepas mengecapi kejayaan bersama, Suphanat mendapat peluang mendapat pengalaman di Eropah dengan menyertai kelab Liga Belgium, OH Leuven secara pinjaman dari Buriram United pada September lalu.

Suphanat menandatangani kontrak pinjaman selama setahun bersama Leauven dan setakat ini, pemain sayap kanan tersebut merekodkan empat perlawanan dan berhasil membuat satu hantaran bantuan ketika aksi seri menentang Jong KAA Gent. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram