PENANGGUHAN aksi bola sepak tempatan ekoran daripada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung pada pertengahan November memberi peluang kepada kelab-kelab Liga Super mengadakan perlawanan persahabatan.
Perlawanan persahabatan itu penting bagi memastikan pemain yang tidak dipanggil mewakili negara masing-masing untuk kekal berada dalam tahap prestasi terbaik.
Antara yang berbuat demikian ialah Perak FC yang mana, pasukan tersebut merancang dua aksi persahabatan dengan kedua-duanya bakal diadakan di Stadium Segiri, Samarinda, Indonesia.
Pada perlawanan pertama pada 16 November lalu, Perak menang 4-2 mengatasi kelab Liga 3 Indonesia, Serpong City FC.
Namun, aksi kedua menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) berdepan Borneo FC pada Sabtu kurang menyengat apabila skuad kendalian Yusri Che Lah kalah tipis 2-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Samarinda, Indonesia.
Aksi perlawanan Perak FC menentang Borneo FC pada Sabtu. — Facebook/PerakFC
Selain daripada prestasi para pemain skuad Seladang, jersi terbaharu kelab tersebut turut menjadi bualan penyokong pada ketika ini kerana harganya yang dianggap tidak masuk akal.
"Seringgit lagi nak RM200 harganya," kata Mohd Zaihan.
Seorang lagi pengguna media sosial, Aca AR turut meluahkan perasaan yang sama.
"Mahal sangat. Harga Israel, kejam gila. Memang kena tunggu diskaun 50 peratus juga la nampaknya kalau nak beli.
"Risau nak beli kalau harga mahal, boleh guna untuk beli keperluan lain. Macam mana penyokong nak sokong kelab kalau harga jersi pun mahal," kata Aiman Yob.
Edisi terhad jersi pramusim 2024 Perak FC dijual pada harga RM199 sehelai.
Walaupun harganya tidak menepati isi poket sebahagian penyokong skuad Seladang namun tidak dapat dinafikan kecantikan jersi berwarna putih sebagai latar dan warna emas di bahagian garisan itu membuatkan ramai ingin membelinya.
Ada juga sesetengah penyokong Perak berharap jersi pada aksi persahabatan itu akan diumumkan sebagai kit baharu pasukan Seladang musim depan dan optimis ramai sanggup membelinya.
Melalui hasil pemerhatian Majoriti di laman web rasmi Perak FC, jersi tersebut merupakan edisi terhad jersi pramusim 2024 dan dijual pada harga RM199 sehelai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram