[VIDEO] Pasukan tersingkir tapi jiwa juang 'keeper' muda New Caledonia raih pujian


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Kutran melakukan 35 penyelamatan dalam membantu mempertahankan gawang New Caledonia daripada dibolosi. — Agensi

WALAUPUN New Caledonia dibolosi 24 gol dalam tiga perlawanan di Piala Dunia Bawah 17 (B-17) 2023 namun penjaga gol muda negara itu, Nicolas Kutran menerima penghargaan daripada penyokong bola sepak dunia.

New Caledonia menjadi lubuk gol dalam pusingan awal Piala Dunia B-17 2023 di Indonesia dengan menyaksikan mereka tewas dałam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan bolos 24 gol.

Terbaharu, wakil dari benua Oceania tersebut ditumpaskan Iran 0-5 menerusi jaringan daripada Amir Mohammad Razzaghinia, Reza Ghandipour, Mohammad Askari dan Kasra Taheri pada perlawanan akhir Kumpulan C di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Jumaat.

Sebelum ini, skuad kendalian Dominique Wacalie itu ditewaskan oleh England 0-10 pada perlawanan pertama dan kemudian ditewaskan oleh Brazil 0-9 pada hari perlawanan kedua.

Tiga kekalahan teruk tersebut menjadikan New Caledonia menduduki tempat tercorot dalam kedudukan terakhir Kumpulan C tanpa memungut sebarang mata dan hanya bolos 24 gol.

Namun penghargaan dan pujian diberikan pada penjaga gol berusia 15 tahun, Nicolas yang sentiasa cekap dalam menjaga gawang pasukannya dalam tiga perlawanan fasa kumpulan Piala Dunia B-17 2023.

Dengan lawan yang kuat dalam Kumpulan C, Kutran juga terpaksa menerima jaringannya dibolosi sebanyak 24 kali dalam tiga perlawanan.

Rekod bolos 24 gol itu menjadikan New Caledonia pasukan dengan mempunyai bolos terburuk di Piala Dunia B-17 2023 setakat dalam peringkat kumpulan kejohanan berkenaan.

Meskipun pasukannya menjadi skuad belasahan namun penjaga gol muda kelab Perancis, Girondins Bordeaux itu mampu melakukan 35 penyelamatan dalam membantu mempertahankan gawang pasukan mereka daripada dibolosi.

"Pasukan kecil New Caledonia tersingkir daripada Piala Dunia B-17 selepas bolos 24 gol dalam tiga perlawanan. Terima kasih kepada penjaga gol berusia 15 tahun Nicolas Kutran, yang melakukan 35 saves,” tulis Bleacher Report menerusi ciapan di laman X.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak New Caledonia (FCF) berkata, Kutran mempamerkan prestasi tinggi ketika menjaga gawangnya pada Piala Dunia B-17 2023.

Kejohanan di Indonesia tersebut merupakan penyertaan kedua New Caledonia dalam Piala Dunia FIFA B-17 dengan sebelum ini mereka layak ke pusingan akhir kejohanan berkenaan pada musim 2017 di India. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram