Sir Jim Ratcliffe mahu dapatkan khidmat ikon AC Milan jika berjaya beli saham Man United


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Sir Jim Ratcliffe dilihat cukup bersemangat dalam usahanya menyelematkan semula nasib skuad The Red Devils. — Agensi

KEPUTUSAN usahawan dari Qatar, Sheikh Jassim al-Thani untuk menarik diri daripada cubaan menjadi pemilik baharu Manchester United membuka peluang lebih besar buat Sir Jim Ratcliffe yang mahu menjadi salah seorang pemegang saham terbesar kelab.

Berdasarkan berita terkini, individu kaya-raya dari Britian itu sedang dalam proses akhir untuk membeli 25 peratus saham pasukan yang kini berada di bawah pemilikan penuh Keluarga Glazers.

Meskipun tiada perkembangan lanjut mengenai usahanya itu, pelbagai khabar angin di media sosial seakan-akan mengukuhkan lagi mengenai kehadiran manusia kedua terkaya di negara terbabit.

Ia termasuk perkhabaran baharu yang mengatakan Manchester United sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan khidmat bekas pengarah teknikal AC Milan, Paolo Maldini.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, usaha itu dikatakan sebagai langkah awal daripada Ratcliffe yang mahu mengubah nasib dan hala tuju kelab Liga Perdana Inggeris itu.

library_upload_21_2018_08_996x664_paolo-maldini_5d10f44

Maldini menjadi seorang pengarah teknikal yang cukup cemerlang sepanjang lima tahun di AC Milan. — Agensi

Perkara itu dilihat cukup munasabah memandangkan legenda Itali tersebut pernah membantu pasukan lamanya kembali ke landasan sehingga menjuarai Serie A pada musim 2021/22.

Di samping memainkan peranan penting dalam mengendalikan pengurusan kelab, dia juga difahamkan terlibat dalam proses jual beli pemain sepanjang lima tahun memegang jawatan berkenaan.

Selain itu, Maldini juga dikatakan akan disertai bekas rakan sejawatnya, Ricky Massara yang juga merupakan antara individu penting di sebalik kebangkitan skuad I Rossoneri beberapa musim kebelakangan ini.

Namun, kegagalan dalam mencapai kata persetujuan bersama ahli lembaga pengarah AC Milan menyaksikan bekas kapten skuad antarabangsa Itali tersebut meninggalkan jawatannya pada pertengahan tahun lalu.

Maldini yang kini berusia 55 tahun difahamkan akan diberikan jawatan pengarah teknikal Manchester United dengan peranan itu dipikul Darren Fletcher ketika ini.

Bagaimanapun, kehadiran ikon bola sepak Itali tersebut hanya akan ditentukan sekiranya usaha Ratcliffe untuk muncul sebagai pemegang saham kelab direalisasikan pada masa terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram