Teguran Hamidin terhadap pemain 'tamak' masih segar dalam ingatan peminat


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Hamidin pernah memberi amaran kepada mereka yang melanggar peraturan perpindahan boleh dikenakan denda berisiko digantung. — Facebook/FAM

ISU pemain menandatangani perjanjian kontrak serentak dengan beberapa kelab masih menjadi antara penyakit dalam saingan Liga Malaysia walaupun sebelum ini pernah mendapat teguran daripada badan berwajib sukan bola sepak.

Misalnya, kira-kira 10 tahun lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menegur beberapa tindakan pemain dan pegawai yang menunjukkan sikap tamak apabila menandatangani perjanjian serentak dengan beberapa kelab.

Menerusi laporan media yang pernah disiarkan pada 13 November 2013, badan induk bola sepak tanah air itu memberi amaran kepada mereka yang melanggar peraturan perpindahan boleh dikenakan denda berisiko digantung.

Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Amin berkata, mereka masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada pihak yang tidak berpuas hati tetapi mengakui beliau sudah mendengar khabar angin mengenai isu berkenaan.

"Kadang-kadang, ada sesetengah pihak tidak mengetahui peraturan itu tetapi itu adalah hal lain. Sehingga kini, tiada isu yang datang kepada kami secara bertulis.

“Tetapi melihat kepada laporan akhbar baru-baru ini, saya percaya terdapat beberapa kes untuk ditangani dalam masa terdekat,” katanya ketika mengulas sama ada isu tersebut dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM pada 10 tahun lalu.

Menurutnya, sesetengah pihak menyelesaikan perkara sesama sendiri namun jika ada di antara mereka tidak dapat menyelesaikan perselisihan tersebut, ia perlu dilaporkan ke Jawatankuasa Status untuk membuat keputusan.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 12.31.50

Hairuddin sebelum ini dikaitkan dengan isu menandatangani kontrak secara serentak dengan beberapa kelab. — Agensi

"Kami telah mendenda pemain sebelum ini dan kami juga boleh menggantung pemain. Saya harap semua orang mengambil serius perkara ini.

"Seorang pemain yang masih mempunyai kontrak boleh memilih untuk bermain untuk pasukan lain dalam tempoh tiga bulan terakhir kontraknya.

“Dia perlu menandatangani niatnya untuk berpindah pada borang C.032. Borang ini adalah sebaik mempunyai kontrak yang sah untuk musim baharu,” tambahnya.

Hamidin berkata demikian menjawab pekulasi yang bertiup kencang bahawa beberapa pemain telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) malah mengutip bayaran pendahuluan tetapi kemudian menukar fikiran untuk menandatangani dengan pasukan lain.

"Pihak tersebut harus berhenti bermain permainan menyalahkan kerana perbuatan mereka. Mereka harus bertanggungjawab dan menghormati perjanjian yang telah mereka buat," kata Hamidin.

Isu tersebut bangkit pada 10 tahun lalu apabila kapten Angkatan Tentera Malaysia FC (ATM) ketika itu, Hairuddin Omar dilaporkan menandatangani perjanjian dengan pasukan Liga Perdana tetapi enggan berpindah.

Hamidin bagaimanapun enggan mengulas mengenainya dan menurutnya, beliau tidak menerima apa-apa laporan tentang perkara melibatkan Hairuddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram