Selain Gabriel Peres, CEO Sabah kongsi bintang lain jadi buruan kelab domestik dan luar negara


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Peres mencetak satu jaringan gol untuk Sabah FC dalam membantu menewaskan Hai Phong FC. — Facebook/SabahFC

DI tengah-tengah kegembiraan Sabah FC yang kini menunjukkan prestasi luar biasa dalam saingan Piala AFC, timbul juga beberapa khabar angin mengaitkan bintang utama The Rhinos dengan perpindahan ke kelab lain.

Misalnya, khabar angin menyatakan bahawa pertahanan kental Sabah FC, Gabriel Peres sedang dipantau rapat oleh pasukan Liga 1 Indonesia selepas ciapan dimuat naik pemerhati bola sepak tanah air, T. Avineshwaran.

Kelab yang dimaksudkan ingin membawa pemain kelahiran Brazil itu ialah Persib Bandung dan difahamkan pengendalinya, Bojan Hodak juga ingin membawa masuk dua pertahanan tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Matko Zirdum dan Giancarlo Gallifuoco.

Walaupun masih berstatus khabar angin namun ia jelas menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong berikutan pemain berusia 26 tahun itu adalah watak utama untuk saingan Liga Super dan Piala AFC musim ini.

Sejak menyertai Sabah pada Januari lalu, Peres sudah menjadi pemain utama Datuk Ong Kim Swee dengan dia diturunkan dalam 26 perlawanan bagi semua kejohanan dan turut menyumbang lima jaringan gol untuk The Rhinos.

peres

Peres antara bek kanan kegemaran yang beraksi bersama Sabah FC. — Facebook/SabahFC

Menjawab situasi Peres, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, pemain berketinggian 1.97 meter itu masih mempunyai kontrak bersama Sabah namun keputusan masih terpulang kepada Kim Swee dan Peres.

Lebih mengejutkan apabila Marzuki turut mendedahkan terdapat beberapa pemain utama Sang Badak juga menerima tawaran daripada pasukan lain termasuklah kelab Liga Super dan liga luar negara.

"Peres masih ada kontrak sehingga 2024. Jika dia terima tawaran, terpulang kepada Datuk Ong (Kim Swee) sebab dia ketua jurulatih untuk putuskan samada dia kekal dalam perancangan musim depan atau sebaliknya.

"Macam hampir semua pemain saya musim ini dapat tawaran. Banyak pemain dapat tawaran terutamanya yang berikan persembahan cemerlang. Tapi kebanyakan mereka masih ada kontrak dengan Sabah.

"Pemain yang Datuk Ong inginkan berdasarkan bajet yang Sabah ada. Jika ada yang tidak perform akan tukar dengan bajet yang ada," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, beliau juga berkongsi keadaan semasa mengenai isu gaji yang dikaitkan dengan Sabah dan menurutnya, perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik hingga tidak menjejaskan prestasi pemain.

sabah main

Kesebelasan utama The Rhinos berjumpa wakil Vietnam. — Facebook/SabahFC

Ia terbukti apabila Sabah FC terus gah di saingan Piala AFC selepas meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas kelab Vietnam, Hai Phong dalam aksi Kumpulan H Piala AFC yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.

"Tiada lagi isu dalaman dan apa yang penting di dalam padang. Ada perkara (isu gaji) yang sudah diselesaikan. Kami cuba selesaikan perkara tersebut dan buktinya pemain pun bersemangat untuk bermain.

"Saya tak cakap 100 peratus selesai tapi kita beri timeline. Kami bagi satu tarikh untuk selesaikan perkara ini. Jika kita tak selesaikan macam mana pemain nak bermain dengan bersemangat," jelasnya.

Sebelum ini, kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan terdapat tunggakan gaji membabitkan pemain pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram