'Kalau ada pemain demand, kami abaikan saja'


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Aksi pemain JDT dan KL City ketika aksi final Piala FA 2023 pada Julai lalu. — Agensi

MASALAH gaji yang menimpa Kuala Lumpur (KL) City FC bukan menjadi penghalang buat pasukan Lembah Klang itu memasang impian untuk meneruskan perjuangan ke pentas akhir Piala Malaysia musim 2023.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berharap agar skuad The City Boys mencapai kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia agar boleh membalas dendam kepada Johor Darul Takzim (JDT).

Khalid berkata, kekalahan di pentas Piala FA pada Julai lalu dsifatkan kurang berpihak kepada pasukan Warga Kota berikutan gelanggang keramat Harimau Selatan iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dipilih sebagai venue aksi akhir perlawanan itu.

SSI dipilih sebagai venue akhir Piala FA 2023 adalah disebabkan ketika itu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam proses pertukaran rumput Zeon Zoysia yang mana baru mula digunakan pada Oktober lalu.

"Kita nak masuk final sekali lagi untuk kita balas dendam final Piala FA FA sebab main di JDT (Stadium Sultan Ibrahim). Sangat tidak adil dan kita dah buat aduan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan isu itu.

"KIta tidak gembira kerana final Piala FA tidak patut main di JDT dan sebab itu kita kalah 2-0. Jadi kita nak masuk final lagi di Piala Malaysia bagi kalahkan JDT. Tapi semua itu bergantung pada perlawanan esok bertemu Terengganu," katanya ketika sidang media di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.

Sidang media itu dibuat bagi menjawab masalah gaji Warga Kota, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard.

WhatsApp Image 2023-11-02 at 13.43.27

Khalid (tengah) ketika menjelaskan keadaan terkini yang dihadapi skuad Warga Kota.

Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menyaksikan skuad Warga Kota tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) sebelum ini dan aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan peluang untuk mereka mencipta kejutan.

Dalam pada itu, Stanley tidak terkejut sekiranya ada pemain yang memilih untuk ke kelab lain susulan masalah gaji yang menimpa pasukan kendalian Nenad Bancina itu.

"Dalam tiga tahun ini kita dah hilang Daniel Ting dan Irfan Zakaria. Ada beberapa pemain lagi tapi mereka dua ini adalah kesebelasan utama. Saya rasa lumrah jika kelab dalam bajet kecil. Saya rasa cabaran bila nak beri jaminan kepada mereka mengenai visi kita.

"Tapi jika mereka (pemain) dah mula nak counter offer, biasanya kami abai saja. Itu sebab saya cakap bahawa dalam tiga tahun ini masih ada pemain yang bersama walaupun kami dah lalui macam-macam. Jadi terpulang kepada mereka.

"Jika potensi pelabur ini berhasil, mungkin kami akan lebih beri jaminan. Buat masa ini yang saya tahu kelab lain pun ada bajet biasa seperti KL. Semua pemain akan lihat ada peluang. Kita semua perlu ukur di badan sendiri," jelasnya.

Terdahulu, KL City FC yang dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji selama dua bulan dan mengesahkan dalam perancangan mencari pelabur berpotensi untuk membantu meneruskan kelangsungan kelab pada hari mendatang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram