Sabah dikhabar ada isu gaji, tidak mustahil bintang HM terima tawaran Madame Pang


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Di sebalik desas-desus masalah gaji, Sabah FC masih mampu berada di tempat kelima Liga Super. — Facebook/FAM

MESKIPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin hampir menutup tirainya dengan beberapa perlawanan masih lagi berbaki, namun masalah tunggakan gaji yang menimpa sesetengah pasukan Liga Super kian mencuri tumpuan.

Kemelut yang dihadapi beberapa kelab itu membuatkan pengelola domestik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa mengambil sedikit masa lagi untuk menilai kelayakan kelab mendapatkan lesen kebangsaan bagi musim 2024.

Berdasarkan kenyataan dari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Stuart Ramalingam, hanya dua kelab menghadapi masalah tersebut dan satu daripadanya ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC namun penyokong mempunyai pendapat berbeza dengan pengelola domestik itu.

Antara kelab yang dikaitkan dengan masalah gaji ialah Sabah FC berdasarkan laporan Harian Metro, ekoran krisis kewangan didakwa berlaku kepada The Rhinos selepas beberapa perubahan dalam kalangan kepimpinan utama sehingga masalah kewangan turut terjejas.

Berikutan masalah gaji yang dihadapi Sabah FC, muncul cakap-cakap penyokong mengatakan bahawa adalah tidak mustahil jika beberapa pemain utama memilih untuk angkat kaki daripada kelab.

Antara pemain yang dijangka akan meninggalkan The Rhinos pada musim depan dan memilih untuk menyarung jersi pasukan lain ialah tonggak tengah, Stuart Wilkin.

WhatsApp Image 2023-10-31 at 18.47.05 (1)

Stuart sering menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk beraksi bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Hal itu dibangkitkan penyokong apabila sebelum ini pengerusi kelab Port FC yang berpangkalan di Thailand, Nualphan Lamsam tanpa berselindung mengakui berhasrat untuk membawa masuk beberapa pemain skuad bola sepak kebangsaan untuk beraksi bersama kelabnya dan antaranya ialah Stuart.

Nualphan atau yang lebih mesra disapa Madame Pang tertarik dengan prestasi yang ditampilkan oleh Stuart dalam saingan Piala Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Mitsubishi Electric 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.

Kelab Port FC yang berada di tangga pertama daripada 16 pasukan dalam saingan Liga Thai 1 kini mengumpul 19 mata berkongsi mata dengan Bangkok United.

Setakat ini, pemain warisan itu menjaringkan tujuh jaringan gol dan dua hantaran bantuan bagi semua perlawanan dengan satu gol daripadanya dicetak ketika saingan Piala AFC menentang PSM Makassar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram