[VIDEO] Aksi Piala Emas Raja-Raja antara Perak dan Selangor dicemari pergaduhan


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Tangkap layar rakaman video pergaduhan tersebut. — Twitter

PIALA Emas Raja-Raja (PERR) 2023 yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia dilihat cukup meriah dengan penyertaan beberapa pasukan cukup ternama.

Berdasarkan rekod, sebanyak 16 pasukan, termasuk wakil dari Singapura sudah mengesahkan penyertaan bagi merebut trofi dalam edisi ke-101 penganjuran mereka.

Namun, seperti yang diketahui, perlawanan bola sepak tidak kira peringkat apapun pasti tidak terlepas daripada dicemari insiden sama ada daripada penyokong atau pemain pasukan itu sendiri.

Menerusi satu rakaman video memaparkan pergaduhan di antara dua pasukan bola sepak dalam Kumpulan C iaitu Perak FC dan Selangor FC tular di media sosial.

Kejadian yang berlaku di Stadium Mini, Jitra, Kedah itu menyaksikan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan.

Menerusi rakaman video yang tular di Twitter, kekecohan yang berlaku berkemungkinan pasukan Perak tidak dapat menerima keputusan akhir selepas gagal layak ke suku akhir.

Pergaduhan itu dilihat turut memerlukan bantuan dari pihak berkuasa untuk mengawal keadaan.

Kelihatan penyokong dan pengadil perlawanan yang berada di tempat kejadian dilihat cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan dari polis mengenai perkara tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor berjaya meraih kemenangan sekali gus melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Perak dengan keputusan 1-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram