[VIDEO] Gara-gara tak skor, Neymar dibaling 'popcorn' penyokong sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Balingan bungkusan makanan itu mengenai tepat di kepala Neymar, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

TULAR satu insiden hangat di media sosial apabila bintang bola sepak antarabangsa, Neymar Jr dibaling sepeket makanan selepas tamat aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Brazil dan Venezuela.

Dalam aksi di Stadium Pantanal, Brazil pada Jumaat, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Gabriel Magalhes buat tuan rumah sementara Eduard Bello muncul penyelamat buat pihak lawan.

Seperti kebiasaan, Neymar Jr memainkan peranan penting dalam pertembungan berkenaan dengan hantarannya daripada sepakan penjuru disudahkan rakan senegaranya itu.

Bagaimanapun, sumbangan tersebut masih belum cukup untuk menggembirakan penyokong Brazil yang bertindak membaling sebungkus bertih jagung terhadap bekas penyerang Barcelona itu.

Balingan itu tepat mengenai kepala pemain berusia 31 tahun berkenaan ketika dia dalam perjalanan menuju ke terowong untuk kembali ke bilik persalinan.

Tindakan penyokong tersebut kemudiannya menimbulkan kemarahan Neymar Jr yang memarahi pelaku tidak dikenali terbabit sehingga terpaksa ditenangkan rakan sepasukan serta staf kejurulatihan.

Selepas tiga perlawanan, skuad The Selecao berada di kedudukan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan hanya Argentina berada di hadapan mereka.

Neymar Jr sekali lagi memainkan peranan penting dalam kempen tersebut apabila dia sudah menjaringkan dua gol dengan kedua-duanya hadir ketika aksi menentang Bolivia September lalu.

Bagaimanapun, kecemerlangannya itu belum dapat diulangi di peringkat kelab dengan pemain berkenaan masih bergelut di Arab Saudi bersama Al-Hilal yang disertainya pada musim panas lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram