PENGENDALI skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong meluahkan kemarahannya terhadap pemain semasa sesi latihannya pertamanya bersama pasukan kendaliannya itu sebagai persiapan untuk perlawanan menentang Brunei Darussalam.
Memetik laporan dari Denpasar, pengendali dari Korea Selatan itu berang dengan sikap beberapa pemainnya yang difahamkan lewat ke sesi latihan dan baginya perangai sebegitu rupa hanya merugikan skuad kebangsaan.
Difahamkan ketua jurulatih berusia 53 tahun itu meminta anak-anak buahnya untuk hadir ke sesi latihan selewat-lewatnya pada pukul 12.00 WIB (1.00 petang waktu Malaysia) namun masih ada yang gagal untuk menepati masa.
Tindakan mereka yang lewat tiba ke latihan pertama itu seperti yang dijanjikan menunjukkan bahawa segelintir pemain Indonesia tidak mengambil serius arahan dari ketua jurulatih skuad Garuda tersebut.
"Ada beberapa pemain yang lewat datang ke TC (kem latihan) walaupun TC bermula jam 12 tengah hari. Saya tegaskan janji ini sama pentingnya dengan nyawa," tegas Tae-yong pada satu temu bual bersama media Indonesia.
Walaupun belum diketahui nama tonggak skuad kebangsaan Indonesia yang tidak menepati janji namun ada yang mengesyaki bahawa pemain tersebut adalah pemain tempatan dan bukannya bintang naturalisasi.
Penyokong skuad kebangsaan Indonesia rata-ratanya mengesyaki bahawa pemain muda sedang meningkat naik, Ramadhan Sananta antara yang disyaki datang lewat ke kem latihan pada hari pertama ia dilaksanakan.
Selain itu, Tae-yong memberitahu bahawa sesi pertama itu hanya untuk memulihkan keadaan pemain sebelum latihan sebenar diadakan sebagai persediaan bagi menentang pasukan Brunei pada Khamis bagi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Jadi latihan hari ini hanyalah latihan pemulihan kerana ramai pemain yang baru tamat perlawanan (dari kelab) juga dan ada juga pemain yang datang dari luar negara,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram