'Mungkin tahun terakhir', orang kuat The Rhinos beri berita gembira dalam duka


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Kim Swee (tengah) dan Marzuki Nasir (dua kanan) dikatakan akan meninggalkan Sabah FC pada musim depan. — Facebook/SabahFC

KETIKA Sabah FC sedang memberikan sepenuh perhatian untuk memburu kejayaan di pentas Asia, muncul sebuah khabar angin mengatakan bahawa tiga 'orang kuat' The Rhinos akan meninggalkan pasukan tersebut pada musim depan.

Khabar angin bermula apabila sebuah laman Facebook, Malayantigerfans mengatakan bahawa Sang Badak akan kehilangan kepakaran trio mereka iaitu ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Ahmad Marzuki Nasir dan Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw.

Walaupun status perkara itu sekadar khabar angin namun nyatanya ia tetap menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong dan bagi pengikut Sabah FC seperti pepatah, 'kalau tiada angin bertiup takkan pokok bergoyang'.

Tampil menjelaskan mengenai berita perpindahan tersebut, Marzuki Nasir selaku CEO Sabah FC menyifatkan bahawa tahun ini berkemungkinan akan menjadi musim terakhirnya bersama The Rhinos jika ada perubahan baharu berlaku.

Menurutnya, Sabah FC dijangka akan mendapat pemilik baharu pada musim depan dan beberapa perubahan mungkin akan berlaku sekiranya kelab berpangkalan di Borneo tanah air melakukan peralihan berbeza.

marzuki

Marzuki Nasir diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai CEO Sabah FC. — Facebook/SabahFC

"Kedudukan sebagai CEO masih tidak pasti sebab mungkin pihak pengurusan ingin buat perubahan baharu. Saya beranggapan mungkin musim ini tahun terakhir bersama Sabah FC. Saya tidak nak mahu jangkakan apa-apa.

"Tahun depan majoriti pemegang saham akan bertukar. Saya pun dah tiga tahun bersama Sabah FC. Mungkin mereka mahu semangat baharu, buah fikiran baharu dan individu baharu. Apa-apapun saya akan tetap buat kerja secara profesional dan pastikan semuanya berjalan lancar," katanya kepada Majoriti.

Marzuki Nasir juga yang sebelum ini memegang jawatan sebagai pengurus Sabah FC berkata, beliau mempunyai banyak momen manis serta membanggakan bersama The Rhinos dan antaranya ialah membawa Sang Badak sehingga ke Asia bersama Kim Swee, Scott serta barisan kejurulatihan The Rhinos.

Meskipun sebelum ini Sabah FC mendapat kritikan kurang enak daripada segelintir penyokong namun The Rhinos berhasil membuktikannya dalam persembahan cemerlang mereka di pentas Asia menerusi Piala AFC.

sabah dalam

Sabah FC kini berada di kedudukan kelima dalam saingan Liga Super. — Facebook/SabahFC

"Saya sudah bawa Sabah ke pentas Asia, jadi saya rasa tugas saya pun dah berikan terbaik. Bawa ke AFC itu adalah planning dalam tiga tahun dan berjaya pada ke Asia pada tahun kedua. Mungkin untuk masa depan, pengurusan baharu inginkan orang baharu untuk majukan Sabah FC.

"Sebelum ini ramai kritik persembahan Sabah tapi semasa lawan Makassar semua pemain bersungguh-sungguh berikan yang terbaik. Kalau boleh nak ikut jejak JDT (Johor Darul Takzim) dan KL (Kuala Lumpur City FC), dua pasukan itu inspirasi kepada Sabah. Seperti yang dikatakan oleh OKS," tambahnya.

Selepas menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1 dan memalukan juara bertahan Liga 1 Indonesia, PSM Makassar 5-0, Sabah FC kini berada di puncak Kumpulan H dengan mengumpul enam mata menerusi dua perlawanan itu.

Dalam perkembangan sama, Marzuki Nasir enggan memberikan apa-apa komen mengenai status Kim Swee dan Scott untuk musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram