Aksi belum mula tapi seperti satu Asia pilih Abe Sony berbanding import Bali United


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Sony sudah menjaring lima gol dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/TFC

PERJUANGAN Terengganu FC (TFC) di saingan Asia diteruskan dengan menentang wakil Indonesia, Bali United dalam aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Kapten Wayan Dipta, Bali pada Rabu.

Pada aksi pertama berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, TFC bermula langkah kanan menang tipis 1-0 hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat, Nathan Paull.

Rentak kemengan tersebut pasti ingin diteruskan oleh skuad kendalian Tomislav Steinbrukner bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam peringkat kumpulan G bersama Bali United, Central Coast Mariners dan Stallions Laguna FC.

Sebelum sepak mula yang dijadualkan bermula pukul 8.00 malam, Rabu, seorang pemain Terengganu yang juga sandaran pasukan, Sony Norde mencuri tumpuan apabila dipilih sebagai pemain kegemaran.

Menerusi satu hantaran dari laman rasmi Facebook Piala AFC, gambar tonggak import itu diletak bersebelahan pemain tengah menyerang Bali United, Eber Bessa sambil memuat naik kapsyen - ‘siapa pilihan anda?’.

WhatsApp Image 2023-10-04 at 16.58.42

Sony dan Bessa dalam hantaran AFC.

Walaupun tidak dipilih secara undían namun komen daripada penyokong bola sepak rantau Asia rata-ratanya memilih penyerang sayap dari Haiti itu berbanding Bessa dari Bali United.

Menjengah di ruangan komen, penyokong dari kelab Sony sebelum ini iaitu Mohun Bagan, Mumbai City dan Sheikh Jamal masih merindui sentuhan pemain berusia 34 tahún itu.

Bessa yang berusia 31 tahun itu merupakan antara tonggak import cemerlang Bali United dan dijangka akan memberi masalah kepada bahagian pertahanan skuad Sang Penyu pada malam ini.

Namun jika dibandingkan dengan Sony, pemain berpengalaman Liga Malaysia itu lebih banyak mencetak jaringan gol dan hantaran bantuan di saingan domestik daripada tonggak kelahiran Brazil itu.

Berdasarkan laman Transfermarket, Sony yang juga dipanggil sebagai Abe Sony dalam kalangan penyokong TFC menjaring lima gol, manakala Bessa merekodkkan satu jaringan gol sahaja di saingan Liga 1 Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram