Bekas penyerang Liga M antara 3 nama perlu diawasi Sang Penyu di Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Bali United memiliki lambakan pemain berkualiti yang perlu diawasi skuad Sang Penyu untuk aksi kedua Piala AFC di tempat lawan. — Agensi

CABARAN besar menanti Terengganu FC dalam perlawanan kedua Piala AFC apabila mereka bakal berdepan Bali United FC di tempat lawan pada Rabu.

Meskipun meraih kemenangan penting dalam aksi pembukaan sebelum ini, skuad Sang Penyu perlu berwaspada dengan ancaman wakil dari Indonesia itu.

Dalam perlawanan pertama mereka, skuad Tridatu Warriors itu membenam lawan dari Filipina, Stallion Laguna dengan keputusan 5-2.

Kemenangan berkenaan sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas dengan Terengganu FC hanya berada di kedudukan kedua Kumpulan G.

Meskipun prestasi mereka tidaklah begitu memberangsangkan dalam saingan Liga 1 Indonesia, Bali United masih boleh dianggap sebagai pencabar berdasarkan rekod jaringan mereka.

381102772_297876086287166_2478594136744549075_n

Skuad Sang Penyu memulakan kempen Piala AFC mereka dengan langkah kanan. — Facebook/Terengganu FC

Pasukan yang kini berada di tangga ketujuh tersebut sudah menjaringkan 21 gol dalam 14 perlawanan dengan hanya dua pasukan (Madura United dan Persib Bandung) memiliki rekod lebih baik.

Jadi, ia sudah tentu menjadi satu cabaran buat skuad Sang Penyu untuk membawa pulang tiga mata penuh daripada aksi di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia.

Bagaimanapun, melihat kepada kemampuan Terengganu FC di peringkat domestik, mereka masih mempunyai harapan itu sekiranya persiapan rapi dibuat.

Salah satu percaturan awal yang perlu dilakukan pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner adalah untuk mengenal pasti bintang-bintang dimiliki Bali United.

Berdasarkan penilaian Majoriti, terdapat tiga pemain yang perlu diawasi dalam perlawanan berkenaan jika mereka mahu meraih kemenangan kedua berturut-turut.

1. Ilija Spasojevic

Apabila dikatakan mengenai Bali United, nama penyerang naturalisasi Indonesia, Ilija Spasojevic sudah tentu akan terlintas dalam minda penyokong bola sepak tanah air.

Manakan tidak, pengalamannya selama semusim setengah dalam Liga Malaysia bersama Melaka United sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai kebolehannya di hadapan pintu gol lawan.

Pada musim pertamanya, penyerang yang kini berusia 36 tahun itu muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana apabila menjaringkan 27 gol dalam 24 perlawanan.

041369500_1566709530-selebrasi_ilija_spasojevic_ke_gawang_arema

Spasojevic masih beraksi dengan cukup cemerlang meskipun sudah berusia 36 tahun. Agensi

Prestasi berkenaan diteruskan dalam Liga Super apabila dia menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan dengan dua daripadanya hadir ketika berdepan PKNS FC.

Kecemerlangan Spasojevic turut diteruskan selepas itu dengan dia turut membawa pulang Kasut Emas dalam Liga 1 Indonesia pada musim 2021/22 bersama Bali United.

Musim ini, pemain kelahiran Montenegro berkenaan sekali lagi membuktikan sentuhannya apabila sudah menjaringkan enam gol dalam kesemua kejohanan dengan dua daripadanya terhasil dalam Piala AFC.

Jadi, tidak hairanlah apabila namanya perlu diawasi Tomislav ketika aksi tersebut sekiranya tidak mahu benteng mereka ditembusi terlalu awal.

2. Jefferson Assis

Dalam saingan Liga 1 Indonesia, Bali United terpaksa meletakkan kepercayaan terhadap penyerang import dari Brazil, Jefferson Assis untuk menggegarkan jaring lawan.

Meskipun memiliki Spasojevic, ia masih tidak mencukupi memandangkan bekas peledak Melaka United berkenaan sudah semakin berusia dan sukar diturunkan dengan begitu kerap.

Pendekatan itu sememangnya membuahkan hasil apabila Jefferson muncul sebagai penjaring terbanyak Bali United dalam saingan liga setakat 14 perlawanan.

385259983_18289252657127654_1559978185454544233_n

Jefferson merupakan salah seorang peledak terbaik dimiliki Bali United ketika ini.

Enam gol daripada 11 penampilannya sudah cukup untuk menceritakan bahawa penyerang berusia 28 tahun terbabit amat penting supaya diawasi sepanjang 90 minit permainan.

Selain cukup tajam di hadapan pintu gol, Jefferson juga dikatakan cukup pantas dalam menggelecek bola dengan dia turut dikatakan mempunyai kebolehan untuk mengelirukan benteng pertahanan lawan.

Walaupun masih belum diturunkan dalam saingan Piala AFC, pemain terbabit masih perlu diawal ketat dengan gandingan Safwan Mazlan dan Shahrul Nizam Ros Hasni mampu menggalas tanggungjawab itu.

3. Eber Bessa

Berdasarkan laman sesawang transfermarkt, pemain import Brazil, Eber Bessa merupakan salah seorang tonggak paling bernilai buat Bali United.

Meskipun sudah berusia 31 tahun, kualitinya setiap kali beraksi sukar dipertikaikan memandangkan pemain berkenaan cukup efisien dalam mengawal permainan.

Ia dapat dibuktikan ketika aksi pembukaan Piala AFC menentang Stallion Laguna dengan perancang tengah berkenaan berjaya merekodkan dua bantuan jaringan.

Catatan tersebut sudah cukup untuk menceritakan bahawa dia perlu diberikan perhatian sewajarnya untuk merencatkan jentera serangan Bali United.

596384667

Eber Bessa merupakan perancang utama buat Bali United ketika ini. Agensi

Berdasarkan statistiknya musim ini, terdapat kemungkinan besar Eber akan diturunkan ketika berdepan Terengganu FC meskipun usianya sudah semakin lanjut.

Dalam saingan Liga 1 Indonesia, pemain berketinggian 1.66 meter (m) tersebut sudah meraih 13 penampilan dengan ia merupakan satu catatan cukup baik.

Jadi, sekiranya Eber tampil dalam aksi tersebut, Tomislav perlu memberikan kepercayaan terhadap benteng pertahanan Terengganu FC untuk menyekat hantarannya.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran pemain tengah bertahan, Habib Haroon juga boleh memikul tanggungjawab berkenaan dalam memastikan kehadirannya tidak memberi kesan buruk buat skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram