PELARI pecut sensasi Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan larian hebat untuk meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki di Stadium Olimpik Hangzhou, pada Sabtu.
Pencapaian Muhammad Azeem memenangi pingat sulungnya di peringkat antarabangsa juga menoktahkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara utama atau reben biru sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.
Pelari berusia 19 tahun itu memastikan tempatnya di podium dengan mencatatkan masa 10.11 saat (s), hanya 0.02 saat perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya, iaitu 10.09s yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia.
Atlet China Xie Zhenye menyamai rekod peribadi terbaiknya iaitu 9.97s untuk memperoleh emas sementara wakil Thailand, Puripol Boonson juga melakukannya dengan baik dengan masa 10.02s untuk perak selepas rakan senegara Soraoat Dapbang terdahulu tersingkir kerana mula palsu.
Sementara itu, menurut Azeem dalam temu bual ringkas di Astro Arena, sememangnya dia tidak menjangka dapat menjejakkan kaki di podium kerana kesemua pelari yang berjaya mara ke final malam ini melakukan catatan masa peribadi terbaik dan catatan masa terbaik musim ini.
"Ini adalah pingat pertama saya di peringkat antarabangsa, walaupun saya pemenang rekod kebangsaan (10.09s) tapi saya tak pernah menang di peringkat antarabangsa.
"Walaupun ia hanya sekadar gangsa tapi sangat bermakna. Pingat ini untuk ibu bapa saya. Saya berjanji dengan mereka untuk berikan pingat di kejohanan terakhir dan saya berjaya kotakan janji itu.
"Alhamdulillah, kejayaan ini juga hasil dari doa seluruh rakyat Malaysia, ibu bapa dan rakan-rakan saya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram