Satu Malaysia tertipu, hanya imaginasi media Jepun Arif Aiman beraksi di Liga J


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Arif Aiman membantu mencetak tujuh jaringan gol dan 12 hantaran bantuan untuk saingan Liga Super. — Facebook/JDT

BELUM selesai penyokong Liga Malaysia (Liga M) membahaskan mengenai masa depan penyerang sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang dikaitkan dengan Liga Jepun (Liga J), muncul lagi perkembangan baharu mengenai khabar angin itu.

Nama Arif Aiman menjadi trending usai perlawanan Harimau Selatan kalah tipis 0-1 di tangan kelab gergasi Liga Jepun, Kawasaki Frontale bagi aksi pembukaan Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2023.

Khabar angin mengaitkan Arif Aiman dengan Liga Jepun itu bermula dengan perkongsian ciapan oleh pengguna akaun X, Shimpei Kanada yang dipercayai merupakan seorang pengurus sebuah portal sukan di Jepun.

"Difahamkan ada kelab dari Liga J inginkan Arif Aiman," tulisnya.

Namun tidak sampai seminggu penyokong bercakap mengenai khabar angin mengaitkan dengan Arif Aiman tersebut, wakil dari portal Jepun itu muncul dengan kenyataan berbeza yang menyatakan bahawa ia hanya sekadar imaginasinya.

Menurut lelaki menggunakan nama akaun Shimpei di platform X tersebut, ia adalah pendapat peribadinya untuk menyaksikan pemain berusia 21 tahun JDT itu beraksi di saingan Liga J pada suatu hari nanti.

WhatsApp Image 2023-09-22 at 21.35.40|

Tangkap layar ciapan dari pengguna X itu.

"Tidak, ia hanya sekadar imaginasi saya sahaja," katanya dalam ciapan berbeza di platform X tersebut.

Kenyataannya mengaitkan Arif Aiman dengan sebuah kelab Jepun membuatkan hampir semua penyokong domestik tertipu sehingga pelbagai nama pasukan dari Matahari Terbit itu disebut akan menjadi 'rumah' terbaharu pemain kelahiran Pahang berkenaan.

Namun, tidaklah mengejutkan jika individu itu membayangkan Arif Aiman beraksi di saingan Liga J kerana persembahannya memporak-perandakan kubu pertahanan jaguh Jepun itu sehingga kemahirannya itu diperakui sendiri oleh pengendali Kawasaki, Toru Oniki.

Malah, sebelum ini Arif Aiman juga pernah dikaitkan dengan sebuah kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol dikatakan berminat untuk melamar pemain muda itu dengan perkembangan itu disahkan menerusi laporan portal bola sepak Jepun, Football Tribe.

Difahamkan lamaran dari kelab Jepun itu bermula apabila melihat kejayaan JDT melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (ACL) musim lalu menyebabkan Arif Aiman menjadi tumpuan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram