
SELEPAS berhasil mendapatkan keputusan positif dalam dua aksi persahabatan antaranbangsa, Harimau Malaya nyata mendapat reaksi positif penyokong setelah mempamer persembahan cemerlang.
Menentang dua pasukan dalam kedudukan 100 terbaik ranking FIFA, skuad Malaysia kendalian Kim Pan-gon berjaya mengikat Syria dan China, masing-masing dengan keputusan 2-2 dan 1-1.
Dalam dua perlawanan itu, terdapat satu persamaan iaitu semangat juang yang kental dipamer oleh para pemain. Ketika bertemu Syria, Harimau Malaya cukup teguh melawan tekanan hinggakan berjaya memadam defisit dua gol.
Ketika bertemu China pula, Malaysia mencipta kejutan apabila mendahului menerusi gol awal Faisal Halim. Sepatutnya kelebihan itu menjadi dua gol tetapi jaringan Darren Lok dibatalkan kerana ofsaid. Namun begitu, semangat juang dan saingan kompetitif tetap diberikan oleh skuad negara hingga wisel penamat ditiupkan.
Kim Pan-gon cukup berbangga dengan persembahan cemerlang pemain Harimau Malaya. — FAM
Melihat kepada persembahan cemerlang ditonjolkan oleh para pemain terutamanya dari segi semangat juang, Pan-gon yakin perkara itu telah membuatkan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan Harimau Malaya.
Sudah pasti, persembahan berani melawan pasukan handalan Asia ini adalah yang dimahukan oleh penyokong dan tidak beraksi bertahan semata-mata.
"Perlawanan yang sangat bagus menentang pasukan di ranking 80 dunia, kami belajar banyak perkara daripada perlawanan ini.
"Saya sangat gembira dan berbangga dengan pemain skuad kebangsaan Malaysia. Apa yang mereka lakukan sudah pasti membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga.
"Sebagai jurulatih, saya tak boleh nak kritik apa-apa, apa yang mereka lakukan sangat baik. Pada hemat saya, keputusan seri ini sangat baik dan kami telah belajar banyak perkara dan boleh bergerak terus ke depan," kata Pan-gon.
Hantaran Akhyar Rashid menjadi punca jaringan pertama Malaysia menerusi Faisal Halim. — FAM
Tanpa menafikan kekuatan pasukan China, Pan-gon mengakui pasukannya memberikan respon baik ketika perlawanan diadakan. Cuma, dia sedikit kesal dengan cara Malaysia dibolosi jaringan tuan rumah.
"China ada pasukan yang kuat, dalam empat perlawanan terakhir mereka juga beraksi cemerlang. Cuma, ada masanya perancangan yang kami lakukan itu menjadi dan pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Ada juga masanya pasukan lawan pula berhempas-pulas.
"Saya sudah melawan China sebanyak tiga kali dan kesemuanya berakhir dengan keputusan seri. Adakalanya saya mengharapkan yang kita tak akan bolos, tetapi itu adalah satu perkara yang perlu dibaiki," ujar Pan-gon lagi.
Tugasan seterusnya menanti Pan-gon dan Harimau Malaya adalah aksi Pestabola Merdeka yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 17 Oktober. — Majoriti