TONGGAK pertahanan skuad Harimau Malaya, Sharul Nazeem Zulpakar bersedia mengadaptasi corak permainan diterapkan pengendali skuad negara, Kim Pan-gon, ketika berdepan dengan China dan Syria dalam aksi persahabatan Tier 1 di Chengdu, China, pada Rabu dan Sabtu depan.
Pemain berusia 23 tahun, yang terkenal dengan gaya agresif di posisi pertahanan itu berkata, tidak mustahil baginya bermain mengikut rentak berbeza sekiranya itu yang dituntut Pan-gon.
"Saya cuba menjadi pemain yang baik sekiranya diberikan slot kesebelasan utama pada perlawanan pertama menentang Syria selain mengikut segala taktikal Pan-gon,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.
Sharul Nazeem diturunkan dalam 17 aksi Liga Super musim ini bersama Selangor FC. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, pemain yang mesra dengan sapaan Afro itu berkata, saingan merebut slot kesebelasan utama pada perlawanan Tier 1 itu bukan mudah apabila nama seperti Dion Cools dan Mohd Shahrul Mohd Saad turut berada dalam senarai barisan pertahanan.
"Bukan mudah untuk saya nak bersaing sebab seperti kita tahu ada pemain yang lebih berpengalaman. Tiada tekanan, cuma saya akan pastikan 100 peratus komitmen akan diberikan atas padang nanti sekiranya terpilih,” tambahnya.
Sementara itu, Sharul Nazeem mengakui aksi di tempat lawan menentang China dan Syria yang masing-masing menghuni ranking ke-80 dan 94 dunia pastinya sukar dan mengharapkan skuad negara yang berada pada kedudukan 136 dunia segera menyesuaikan diri.
Skuad negara akan berlepas ke Chengdu pada Isnin. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram