
PENYERANG prolifik Manchester City, Erling Haaland mengharungi separuh masa pertama yang mengecewakan di Bramall Lane, Sheffield England selepas dia terlepas sepakan penalti buat kali pertama sejak menyertai kelab itu ketika menewaskan Sheffield United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Namun, pemain Norway itu berhasil menebus kesilpannya apabila menanduk masuk hantaran lintang dari Jack Grealish dan sekali gus memberi gol pembukaan pada minit ke-63.
Dia kelihatan tidak bersemangat untuk meraikan golnya kerana masih kesal dengan tendangan penalti tetapi kemudian Haaland dipeluk seorang peminat yang nekad terjun ke padang.
Setelah dikenali pasti, penyokong lelaki yang melompat ke belakang Haaland dan mencium pipinya itu adalah bekas juara dunia sukan tinju, Terry Flanagan.
Flanagan memegang gelaran untul kelas ringan (lightweight) WBO (World Boxing Organization) antara 2015 dan 2017 dan berjaya membuat empat kejayaan mempertahankan tali pinggang.
Pemain kelahiran Manchester itu memenangi 33 pertarungan profesional pertama dalam kariernya, tetapi mengalami kekalahan berturut-turut menentang duo Amerika, Maurice Hooker dan Regis Prograis pada 2018.
Dia meneruskan tiga pertarungan lagi dengan memenangi semuanya untuk menamatkan kariernya dengan rekod 36-2.
Bekas petinju berusia 34 tahun itu kini kelihatan menghabiskan masa lapangnya dengan menonton perlawanan City iaitu kelab kesayangannya.
Penyerang berusia 23 tahun itu pada mulanya kelihatan tidak sedar siapa yang melompat ke atasnya, tetapi menepuk kepala Flanagan selepas menyedari ia adalah peminat City.
Pegawai keselamatan kemudiannya mengeluarkan Flanagan dari padang apabila Haaland kembali dikerumuni oleh rakan sepasukannya.
Flanagan mungkin pada mulanya menyangka dia sedang meraikan gol kemenangan kerana City akhirnya mendahului selepas gagal mencari kejayaan pada separuh masa pertama.
Namun, Sheffield berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang utama pasukan, Jayden Bogle yang bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-85.
Kegembiraan pasukan tuan rumah untuk mencuri satu mata tidak kesampaian selepas pemain tengah City, Rodri meledak gol kemenangan berselang dua minit kemudian dan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram