Khidmat 2 nama besar ditamatkan, dengarnya Azraai Khor kini nadi baharu Penang FC


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Azraai Khor adalah salah seorang pengendali berjaya tanah air selepas meraih kejuaraan double treble bersama Kedah. — Facebook/Azraai

SELEPAS mengadu menginginkan pembaharuan dari segi kepimpinan kelab setelah berdepan prestasi yang tidak menentu, suara penyokong Penang FC akhirnya didengari oleh pihak pengurusan serta-merta.

Menerusi laman Facebook Penang FC pada Isnin, pihak pengurusan memaklumkan untuk menamatkan khidmat Pengarah Tenikal Kelab, Kamal Khalid dan Pengurus Pasukan Liga super, Ong Eng Hua.

Kedua-dua individu dalam pengurusan Penang FC itu tidak lagi terlibat dalam apa jua urusan kelab dan pasukan Harimau Kumbang.

“Pengurusan tertinggi Penang FC mengambil maklum dan berasa amat dukacita dengan prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2023, termasuk juga kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia 2023 baru-baru ini.

“Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini. Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang telah diberikan sepanjang mereka bersama Kelab dan pasukan,” tulis kenyataan Penang FC pada Isnin.

Dalam perkembangan yang sama, laman rasmi itu juga memberi petunjuk akan membawa masuk pengendali baharu yang akan memainkan peranan sebagai Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Pasukan.

Pembaharuan secara menyeluruh diharap akan membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan, bagi memenuhi harapan dan aspirasi para penyokong dan peminat Penang FC.

“Dengan ini juga, Ketua Jurulatih pasukan Liga Super yang baharu akan memainkan peranan sebagai Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Pasukan untuk masa yang akan datang.

“Ini akan memberikan tanggungjawab penuh kepada Ketua Jurulatih yang juga merangkap Pengurus Pasukan untuk mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC,” jelas kenyataan berkenaan.

Susulan pemecatan Kamal Khalid, bekas jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah difahamkan bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal Penang FC yang baharu.

Lantikan Azraai Khor itu dimaklumkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya pada Isnin.

Selepas tewas 0-3 di tangan PDRM FC pada Ahad, skuad Harimau Kumbang kini boleh dianggap berada pada situasi tidak membanggakan apabila mereka menduduki tangga kesepuluh Liga Super selepas 21 perlawanan.

Oleh itu, ramai penyokong mendesak agar berlaku rombakan di bahagian tadbir urus bagi dan kejurulatihan sebelum Harimau Kumbang dihumban ke saingan Liga M3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram