
SELEPAS kemenangan tipis Manchester City 1-0 ke atas Newcastle United pada Ahad lalu, video pengurus pasukannya, Pep Guardiola tular kerana didenda tidak membayar parkir kereta dan enggan melayan peminatnya.
Klip itu menunjukkan Guardiola didatangi seorang polis trafik ketika dia cuba memasuki keretanya yang terletak di tepi jalan sehingga pihak berkuasa itu memberinya denda di parkir tersebut.
Selain memaklumkan denda, pada masa yang sama, polis itu meminta untuk mengambil gambar bersama pengendali Sepanyol namun Guardiola memberi jawapan sarkastik kepada lelaki tersebut,
"Anda mahu gambar? Anda perlu membayar. Untuk gambar itu," katanya dalam video tular itu.
Dalam video itu, Guardiola ditemani oleh Lawrence Bonaventure iaitu jurulatih kecergasan yang bersamanya sejak bertahun-tahun di Barcelona dan dia merupakan salah seorang pembantu penting pengendali tersebut sejak permulaannya sebagai jurulatih.
Di sebalik jawapan dan reaksi ketawa dari polis trafik itu, Guardiola meninggalkan kawasan parkir dengan cepat dan disebelungi perasaan marah apabila dia dilihat mengeluarkan tiket dari cermin depan tanpa mengambil gambar dengan polis berkenaan.
Sebelum ini, Guardiola juga tular apabila menyuruh seorang peminat Manchester City untuk melatih pasukan itu selepas lelaki berkenaan meminta jurulatih itu membuat sebarang pertukaran semasa aksi menentang Newcastle United.
"Dia (peminat) berkata kepada saya 'buat pertukaran', saya kata datang duduk di sini dan lakukannya. Permainan itu dalam tempo yang baik, rentak yang bagus," kata Guardiola kepada media. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram