
KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) membuktikan kelas mereka tersendiri apabila media Sepanyol turut mengangkat juara bertahan Liga Super sembilan kali berturut-turut itu sebagai pasukan terunggul Liga Malaysia (Liga M).
Dalam temu bual media Sepanyol, AS.Com bersama pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari menceritakan bahawa pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim merupakan individu yang membuat kelab itu kini paling berjaya dalam sejarah.
Jurulatih kelahiran Argentina itu juga memberi jaminan bahawa dari segi struktur dan sumber manusia, Johor mempunyai kemudahan yang lebih baik daripada kebanyakan pasukan divisyen satu di Eropah.
"Falsafah penguasaan, penguasaan menyerang, menguasai kebanyakan permainan dengan tekanan tinggi. Para pemain telah berkembang dalam metodologi latihan dan mereka telah menunjukkannya dalam lapan bulan ini," katanya yang cuba membawa perubahan pada tahap tertinggi untuk Harimau Selatan.
Bukti peningkatan JDT dapat dilihat apabila baru-baru ini pasukan Harimau Selatan mencipta sejarah tersendiri dengan mencatat gol paling banyak untuk semusim iaitu mencetak 79 jaringan gol setakat ini.
JDT masih mengungguli Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas 20 perlawanan. — Facebook/JDT
Bagi pengendali berusia 43 tahun itu, aksi cemerlang Harimau Selatan pada setiap perlawanan itu adalah disebabkan disliplin dan mentaliti juara yang ada pada setiap pemain.
Solari turut menceritakan ingin menutup musim ini dengan memenangi juara dalam liga domestik Malaysia dan memberi saingan hebat dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), selain ingin mengembangkan karier di persada Eropah dan menjadi sebahagian daripada liga paling kompetitif di dunia.
Dalam pada itu, Solari juga bercakap tentang kehidupannya di Malaysia yang mana dia banyak dibantu oleh orang sekeliling untuk cepat menyesuaikan diri dengan jawatan di skuad Harimau Selatan.
"Orang-orang di sini sangat menghormati berdasarkan apa yang mereka amalkan. Kebanyakannya beragama Islam tetapi ada juga orang India, Cina, warga Singapura. Selain itu, cuaca banyak membantu untuk menikmati masa lapang.
"Banyak kehijauan, ada pantai, banyak alam semula jadi. Kehidupan yang baik di sini (Johor) dengan negeri ini mempunyai hubungan yang baik dengan Singapura. Hanya memerlukan setengah jam untuk ke sana," tambahahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram