Sah sertai Persib Bandung, Bojan Hodak dijangka bawa 4 pemain 'favourite' ke Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Bojan Hodak sah sertai Persib Bandung selepas meninggalkan KL City.

TERJAWAB sudah siapa pengganti Luis Milla yang secara tiba-tiba menamatkan kontrak bersama Persib Bandung selepas hanya mengendalikan empat perlawanan Liga 1 Indonesia.

Bekas pengendali KL City FC, Bojan Hodak dibawa bagi membantu Persib Bandung yang kini berada di kedudukan tiga tercorot Liga Indonesia selepas tidak merekodkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan.

Pengendali berusia 52 tahun itu diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Persib Bandung pada Rabu lalu selepas sah berpisah dengan KL City.

Namun adakah anda tahu, nama Bojan di Indonesia tidak lagi asing selepas dia pernah membimbing juara Liga Indonesia musim lalu, PSM Makassar pada 2020.

Di bawah kendaliannya, PSM tidak pernah mengalami sebarang kekalahan namun disebabkan Covid-19 Bojan memilih untuk meneruskan kariernya bersama KL City pada 2021.

Paulo Josue merupakan tunjang utama KL City.

Jurulatih kelahiran Croatia itu terkenal dengan formasi 4-4-2 dan sering menggunakan empat pemain ketika bersama KL City.

Empat pemain tersebut ialah Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue, T. Saravanan dan Romel Morales.

Seorang daripada pemain yang mungkin mengikut jejak Bojan ialah pemain naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue yang mana kontraknya akan tamat pada November 2023.

Peluang ini dilihat semakin cerah selepas salah seorang pemain import Persib, Tyronne del Pino diketepikan untuk musim ini selepas mengalami kecederaan.

Masa depan Tyronne bersama Persib juga tidak ada kata putus selepas pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan sudah pulang ke negara kelahirannya, Sepanyol.

Kemungkinan peluang Paulo Josue untuk bekerjasama dengan Bojan amat tinggi dan sudah tentu ia akan menjadi berita gembira buat penyokong Persib sekirannya pemain kebangsaan itu menyertai mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram