INDUSTRI bola sepak tanah air sering diwarnai dengan kemasukan pemain luar negara yang cukup berkualiti untuk membantu pasukan Liga Malaysia (Liga-M).
Kemasukan pemain-pemain import tersebut banyak memberi pendedahan kepada corak permainan kelab tempatan berikutan pengalaman yang dipersembahkan dalam setiap perlawanan.
Enam tahun lalu, Terengganu FC pernah membawa masuk pemain import berkualiti yang berjaya menyuntik perubahan ketara kepada pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Penyerang import KL City FC, Tchetche Kipre. — Instagram/tchetche_kipre_official_23
Penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre pernah digelar permata baharu Sang Penyu berikutan tanggapan orang ramai yang melabel kehadiran import itu sebagai yang paling berbaloi untuk pasukan Liga Perdana ketika itu.
Tchetche yang ditandatangani pada jendela perpindahan kedua mencatatkan empat jaringan dalam enam perlawanan termasuk dua gol ketika Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Terengganu.
Bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti dilaporkan berkata, mereka bertuah kerana memperolehi satu mata dalam perlawanan terakhir di laman sendiri musim 2016 ketika itu, hasil jaringan Tchetche pada minit ke-44 dan 90+2 selepas skuad Jang mendapat dua gol menerusi jaringan pemain Perancis Jonathan Behe (m-39 dan m-42).
Pada Julai 2017, Irfan Bakti dilaporkan berkata, kemasukan Tchetche ke Terengganu merupakan impiannya yang mengidamkan penyerang berbisa dan bersyukur kerana import baharu itu berjaya selamatkan masa depan pasukan tersebut.
Penyerang import itu merekodkan 31 jaringan dan tujuh assist dalam 55 perlawanan ketika masih bersama skuad Sang Penyu.
Sebelum ini, Tchetche itu pernah menabur bakti bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum berhijrah ke KL City FC musim 2021/2022.
Kini, pemain kelahiran Ivory Coast itu mencetak enam gol dan tiga assist selepas 16 perlawanan Liga Super berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram