Sathia angkat PDRM pasukan terbaik LS6, Azzmi mula rasa gayat


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Aksi PDRM FC ketika menentang Kuching City FC yang menyaksikan The Cops menang 1-0. — Facebook/PDRM FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SAMBIL mengangkat PDRM FC sebagai pasukan terbaik minggu keenam Liga Super (LS6), B. Sathianathan bagaimanapun mengingatkan skuad Sang Saka Biru itu akan mendapati laluan mereka jauh lebih mencabar selepas ini.

“Untuk enam minggu, pasukan-pasukan dalam Liga Super sekadar memerhatikan PDRM. Selepas ini, setiap lawan yang akan berhadapan mereka akan melakukan persiapan rapi dan tidak sekali-kali akan mengambil mudah.

“Pada peringkat inilah, PDRM akan benar-benar teruji. Dipandang rendah sebelumnya, mereka menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan kedudukan tapi mungkin tidak akan mendapatinya mudah selepas ini,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu kepada Laptop Cabuk.

ATM coach B. Sathianathan gestures during short interview at Subang Airport before depart to Kelantan. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. October 24, 2013.

Sathia memuji pengurusan PDRM FC yang disifatkan melakukan pendekatan betul dalam menyerlahkan mereka sebagai pasukan yang sangat berdisiplin.

Sathia tak sayang mulut? Pilihannya terhadap PDRM FC ketika tampil sebagai ‘pundit’ (penganalisis) dalam satu siaran langsung LS6 pada Sabtu boleh mudah disalah erti pada minggu Johor Darul Takzim (JDT) melebarkan dominasi dengan mengungguli saingan dua tangga teratas dengan mengerdilkan cabaran Sabah FC 4-0.

Jauh daripada berniat menongkah arus, bekas jurulatih berusia 64 tahun yang sudah banyak berperjalanan itu menepisnya sebagai perbandingan dua level yang sama-sekali berbeza.

“JDT, mereka di level lain. Menang sesuatu yang dijangka daripada mereka setiap kali turun beraksi. Untuk JDT kekal di tangga teratas dan menang dengan jurang empat gol, itu sudah menjadi semacam kelaziman.

“Anda tidak boleh menidakkan apa-apa daripada mereka, sebuah pasukan yang memiliki segala-galanya daripada pasukan kejurulatihan yang bagus, barisan pemain yang setahap atau dua tahap mengatasi lawan-lawannya dan fasiliti yang hanya mampu dicemburui.

“Tapi di sini, saya mahu bercakap mengenai sebuah pasukan yang mungkin tidak banyak diberi harapan, mengejutkan ramai dengan peningkatannya dan mampu menjadikan saingan liga ini lebih menarik di sebalik kekurangan mereka,” jelasnya.

336550456_521798876697582_5355174959602590147_n

Azzmi masih mahu pasukannya bersaing dengan baik meskipun status mereka sebagai pasukan kerdil. Facebook/PDRM FC

Malah, kalau diperhatikan, PDRM FC di bawah kendalian Azzmi Aziz ketika ini mengisi tangga keenam – sama mata dengan Sri Pahang FC – serta di atas pasukan-pasukan seperti Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC, Perak FC dan Kuala Lumpur City FC.

Sathia turut memuji pengurusan Sang Saka Biru yang disifatkannya sudah melakukan pendekatan yang betul dalam menyerlahkan mereka sebagai sebuah pasukan yang sangat berdisiplin, dengan pemain-pemain yang sangat komited.

“Silap jika ada pasukan yang berasakan mudah untuk bermain menentang PDRFM FC. Mereka bukan sebuah pasukan ‘lembik’, sebaliknya akan berhabis-habisan apabila kehilangan bola untuk segera mendapatkannya semula.

“Pemain import mereka (Kyaw Min Oo, Marcus Macauley, Uche Agba, James Okwuosa, Bruno Suzuki dan Fadi Awad) membawa nilai yang sangat besar dalam pasukan dan ini ditambah oleh pemain tempatan yang sanggup berhabis-habisan.

336654782_743410850834606_8948656511544658480_n

Uche Agba (kiri) menampilkan persembahan bertenaga bersama skuad The Cops. — Facebook/PDRM FC

“Saya ada bercakap dengan seorang pemain import mereka yang memberitahu suasana dalam pasukan sangat baik di samping mewujudkan keharmonian sesama mereka.

“Pengurusan PDRM FC sudah melakukan tugas dengan baik untuk menyusun perancangan agar bermain mengikut kemampuan mereka sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sathia juga menuntut agar Azzmi dan barisan pemainnya sentiasa beringat daripada berasa selesa di samping perlu terus meningkatkan azam dan iltizam jika mahu meneruskan momentum yang sama.

Banyak pasukan seumpamanya, katanya, beransur-ansur tergelincir pada masa lalu kerana tidak berupaya mengekalkan kesungguhan yang sama selain mendapati lawan selebihnya menurunkan barisan terbaik masing-masing.

Azzmi, terutamanya, enggan merelakan itu berlaku di peringkat ini.

“Terima kasih Coach Sathia, saya ambil peringatan daripada apa yang dikatakan seorang jurulatih sangat berpengalaman sepertinya.

“Tangga keenam bagus buat kami ketika ini tapi kami juga sedar yang perjalanan dalam liga masih terlalu panjang,” katanya.

339159106_783261183285704_4805784935036322773_n

Bruno mencetak dua gol bersama PDRM FC setakat ini. — Facebook/PDRM FC

Menurut ketua jurulatih itu, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan pemain-pemain kekal fokus dan tidak mengabaikan corak bola sepak yang telah membawa mereka sejauh ini.

“Apa yang saya paling takuti ialah pemain-pemain saya mula berasa selesa, (sedangkan) kami team yang biasa-biasa saja dan perlu sentiasa kekal realistik dengan kemampuan yang kami ada.

“Ke depan ini tentunya akan lebih sukar dan saya selalu ingatkan pemain supaya jangan mudah berasa terlalu yakin.

“Pada masa ini pun, ada pemain yang berasa takut-takut untuk naik menyerang, takut terperangkap apabila lawan buat serangan balas. Kerana itu, wing back kami kerap ragu-ragu untuk naik ke atas walaupun saya perlukan mereka lebih banyak menyerang,” tambahnya.

Apapun, berlawanan dengan apa yang dituturkannya, PDRM FC selepas enam perlawanan bukanlah sebuah pasukan 'yang biasa-biasa'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram