PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sekali lagi mengingatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya melaksanakan Financial Fair Play (FFP).
Ini bukan kali pertama Tunku Ismail menyatakan kepentingan pengurusan kewangan yang adil atau FFP dalam bola sepak tanah air berikutan pada lapan tahun lalu, beliau pernah memaklumkan perkara sama.
Cadangan tersebut sekali lagi diingatkan kepada dua badan induk bola sepak tanah air ketika memuat naik komen di laman instagram bola sepak, malaysiafootballleague mengenai kerjasama antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan kelab La Liga, Cadiz CF yang ditandatangani pada Isnin.
Menurut Tunku Ismail, pelaksanaan FFP penting untuk mengawal setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) daripada berbelanja melebihi kemampuan dan sekali gus boleh mengelak daripada masalah gaji berlaku lagi.
Mana tidaknya, hampir saban tahun ada sahaja pasukan Liga M yang dihimpit dengan isu tunggakan gaji dan tidak menjaga kebajikan pemain serta barisan kejurulatihan.
Selain itu, pemilik kepada juara bertahan Liga Super itu juga berharap agar FAM dan MFL mewajibkan untuk melaksanakan pembangunan akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat pada masa akan datang.
Tangkap layar komen TMJ terhadap hantaran kerjasama antara KL City FC dan Cadiz CF.
“PJ City (Petaling Jaya City) jalin kerjasama dengan Manchester City, di mana PJ City pada hari ini? Saya sudah berkerjasama dengan banyak kelab Dortmund, Juventus, City Group, Valencia dan Saporro dari Japan.
"Tetapi kami hanya berkongsi kepakaran, pembangunan dan perancangan sahaja. Kelangsungan kelab, strategi komersial, duit, pembangunan akar umbi dan infrastruktur semua kena buat sendiri.
"Tiada orang akan tolong kita. Sebab itu saya cadangkan tahun depan FAM dan MFL untuk melaksanakan 'financial fair play' dan setiap pasukan mesti ada program akar umbi, wajib.
“Untuk kawal pasukan berbelanja ikut kemampuan, jadi tiada lebihan perbelanjaan dan tak bayar gaji pemain. Demi kelab untuk bertahan lama kerana tak semua kelab ada keistimewaan sapu duit kerajaan setiap tahun," komennya.
Pandangan tersebut diutarakan oleh Tunku Ismail berdasarkan pengalaman JDT yang sebelum ini banyak menjalin kerjasama dengan pelbagai pasukan luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram