Fandi Ahmad optimis, import baharu Tok Gajah bikin Gergasi Merah berputih mata


  • Podium
  • Ahad, 09 Jul 2023

Antara aksi ketika Pahang tewas 4-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 16 April lalu. — Facebook/SriPahang

SRI Pahang FC akan tampil dengan kelainan apabila bercadang untuk menurunkan tonggak import tengah baharu dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev dalam aksi menentang Selangor FC pada Ahad.

Memetik laporan dari Astro Arena, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad sedia mempertaruhkan Ruziev bagi memastikan rentak dua kemenangan berturut-turut Liga Super mampu dikekalkan ketika bertemu Gergasi Merah di Stadium Darul Makmur.

Ruziev diumumkan pemain import baharu kedua Sri Pahang FC pada jendela perpindahan kedua yang berpengalaman bersama Lokomotiv Tashkent dan antara tonggak utama membantu kelab itu memenangi Liga Super serta Piala Uzbekistan pada musim 2016.

"Kalau boleh kami nak kutip mata penuh walaupun permainan Selangor sedang meningkat dan kepantasan mereka amat luar biasa sekali.

"Tapi kami selalu bekerja keras sebagai sebuah pasukan. Kami mempunyai semangat berpasukan walaupun tidak mempunyai ramai pemain ternama.

"Dalam perlawanan lalu, kami selalu berusaha keras hingga wisel akhir perlawanan.

"Jadi saya tidak risau, lagi-lagi bermain di rumah sendiri walaupun harus bermatian-matian untuk simpan tiga mata di sini," kata ketua jurulatih itu dalam persiapan akhir anak buahnya di venue perlawanan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-07-09 at 10.57.47-2

Selepas Silva, Ruziev diumumkan sebagai import baharu Tok Gajah pada jendela perpindahan Julai ini. — Facebook/SriPahang

Dalam pada itu, penyerang import baharu dari Brazil, Rafael Silva pula berkemungkinan akan diturunkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

"Pastinya mereka akan berada dalam senarai 20 pemain tapi yang pastinya kami akan mainkan Kuvondik Ruziev terlebih dahulu dan Rafael Silva (pula) mungkin diturunkan dalam separuh masa kedua atau 30 minit terakhir.

"Kami sering bermain baik dalam separuh masa pertama atau kedua.

"Mudah-mudahan kali ini kami ada satu lagi pemain yang boleh bantu kami, Ruziev akan memulakan perlawanan dan rakan sepasukan bertambah bersemangat untuk kami bermain baik sepanjang 90 minit," katanya.

Kali terakhir Pahang menentang Selangor menyaksikan Tok Gajah tewas 4-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 16 April lalu. Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram