'Man United sentiasa di hati saya', ucapan selamat tinggal David de Gea yang disebut-sebut sertai kelab mewah Arab Saudi


  • Podium
  • Ahad, 09 Jul 2023

De Gea berpindah dari Atletico Madrid ke Old Trafford pada 2011. — Agensi

PENJAGA gol Manchester United, David De Gea sah meninggalkan Old Trafford selepas berdepan masa depan yang tidak menentu setelah kontraknya tamat pada akhir bulan lalu.

Walaupun United dilaporkan sudah menawarkan perjanjian baharu kepada penjaga gol Sepanyol itu, dengan tawaran yang lebih rendah, namun De Gea tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi menabur bakti bersama The Red Devils.

Pemain berusia 32 tahun itu sudah menyarung jersi selama 12 tahun dengan Man United dan melakukan 545 penampilan bersama United, selain dianugerahkan Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lepas.

Menerusi laman media sosialnya, De Gea memuat naik ucapan selamat tinggal kepada peminat skuad The Red Devils.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga serta menghargai segala kasih sayang yang telah dicurahkan sejak 12 tahun lalu.

“Kami telah mencapai banyak kejayaan sejak Sir Alex Ferguson membawa saya masuk ke dalam pasukan ini. Saya berasa bangga setiap kali menyarung jersi pasukan ini, untuk mengetuai pasukan, dan mewakili institusi ini, sebuah pasukan terbesar di dunia, pastinya satu penghormatan yang hanya diraih beberapa pemain bola sepak.

WhatsApp Image 2023-07-09 at 12.10.00

De Gea bersama keluarganya ketika menerima Anugerah Sarung Tangan Emas EPL pada musim lepas. Agensi

“Ia satu tempoh yang tidak akan dilupakan dan penuh kejayaan sejak saya berada di sini. Saya langsung tidak pernah terlintas untuk meninggalkan Madrid di usia yang muda dan mampu untuk mencapai kejayaan ini bersama-sama.

“Kini masanya untuk saya mengambil cabaran baharu, untuk berusaha menyesuaikan diri dalam suasana baharu semula. Manchester akan sentiasa berada di dalam hati saya, Manchester telah membentuk diri saya dan ia tidak akan meninggalkan saya,” tulisnya.

De Gea yang berpindah dari Atletico Madrid pada 2011 itu dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke kelab Arab Saudi dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pemain itu mengekalkan 190 tanpa bolos dan memenangi lapan trofi utama, termasuk Liga Perdana 2012-13 dan Piala Carabao musim lalu di bawah kendalian Erik Ten Hag.

Pada masa yang sama, The Red Devils juga semakin menghampiri perjanjian untuk menandatangani Andre Onana dari Inter Milan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan De Gea. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram