JATUH bangun sesebuah pasukan bola sepak pasti ada penyokong yang setia memberikan segala sokongan dengan menghabiskan masa, wang ringgit dan tenaga hanya untuk kelab kesayangan mereka.
Malah lebih mendukakan ada juga kisah menyayat hati seperti situasi meragut nyawa melibatkan penyokong ketika menunjukkan sokongan untuk pasukan kegemaran.
Siapa sangka 10 tahun lepas, di sebalik kegembiraan pasukan Kelantan dinobatkan sebagai Juara Piala FA 2013 setelah menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0, dua penyokong The Red Warriors (TRW) maut ketika dalam perjalananan membeli jersi kelab Pantai Timur itu.
Dua penyokong pasukan Kelantan tersebut maut apabila motosikal yang mereka naiki terbabit dalam perlanggaran secara berdepan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda pada 30 Jun 2013.
Berdasarkan laporan media pada 1 Julai 2013, kedua-dua mangsa, Muhamad Kamil Mahasan, 23, dan Ibrahim Muhamed Zain, 19, dalam perjalanan membeli jersi Red Warrior sebelum kemalangan itu berlaku.
Ibrahim maut bersama rakannya, Muhamad Kamil ketika motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chiku – Kuala Berang, dekat Gua Musang, kira-kira pukul 1.30 petang.
Keadaan motosikal yang dinaiki mereka. — Agensi
Manakala, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia lingkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Abang kepada Ibrahim, Zulkifli, 31, berkata, kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan ke Chiku untuk membeli jersi pasukan bola sepak itu bagi membeli baju bola TRW untuk dipakai semasa menonton televisyen menyaksikan perlawanan TRW dengan JDT.
Dia dilaporkan berkata, adiknya sering pulang ke rumah terlebih dahulu untuk makan tengah hari dari tempat kerjanya di kilang penapisan minyak sawit berhampiran, tetapi dia diberitahu bahawa mereka keluar pada waktu makan tengah hari untuk membeli jersi itu.
"Saya dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 2 petang. Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat Kamil terbaring di dalam longkang tetapi tidak menemui adik saya.
"Saya dan rakan-rakan mencari di sekitar kawasan itu sebelum menemui mayatnya dalam semak berhampiran,” kata Zulkifli sebak.
Kisah kedua-dua penyokong tersebut kekal dalam ingatan semua pengikut Kelantan FC dan pihak TRW mahupun semua kelab Liga Malaysia perlulah menghargai sokongan peminat terutamanya yang hadir setiap minggu menyaksikan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram