Perak FC nafi berhutang dengan Lim Teong Kim


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Perak FC sebelum ini menggugurkan Teong Kim daripada tugasnya pada 25 Mei lalu. — Facebook/PerakFC

PERAK FC menafikan dakwaan berhutang bayaran gaji dengan bekas pengendali skaud The Bos Gaurus (TBG), Datuk Lim Teong Kim.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu menegaskan bahawa pihak kelab tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain atau jurulatih sehingga kini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Teong Kim ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak bagi menuntut bayaran gaji dalam kontrak yang sepatutnya berbaki 24 bulan lagi sebelum dia direhatkan.

“Perak FC mengambil maklum sidang media yang diadakan oleh bekas ketua jurulatih, Datuk Lim Tong Kim di Ipoh pagi ini berhubung dakwaan pemecatannya secara tidak adil.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perak FC ingin menyatakan bahawa Datuk Lim Tong Kim telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih, dan perkara ini kini berada di pihak peguam kelab untuk diselesaikan.

“Perak FC juga ingin menjelaskan bahawa pihak kelab tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain atau jurulatih sehingga kini.

“Perak FC tidak akan mengulas lanjut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Lim dalam segala urusan beliau di masa hadapan,” kata kenyataan Perak FC pada Selasa.

perak main

Teong Kim diwakili peguamnya, Adam Yap ketika hadir untuk memfailkan tuntutan terhadap kelab Utara tanah air itu. — Foto/FlashSukan

Teong Kim yang diwakili peguam, Adam Yap pada Selasa itu menjelaskan bahawa aduan yang dilakukan hanya bertujuan untuk menuntut haknya dan bukanlah mahu mencalarkan air muka sesiapa.

“Ini hak saya. Seperti yang peguam saya katakan saya hanya tuntut hak saya sahaja. Tak lebih tak kurang. Saya datang ke Perak dengan hati yang baik, jadi saya nak keluar pun dengan hati yang baik juga. Itu sahaja,” katanya.

Berdasarkan laporan, kes berkenaan diletakkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang mengatakan bahawa keputusan untuk menggugurkan Teong Kim adalah tidak sah.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram