[VIDEO] Safawi Rasid pilih kekal di JDT, jaringan untuk isteri sesuai jadi calon Puskas


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Safawi mendedikasikan jaringannya khusus untuk isterinya, Syifa yang kini hamil enam bulan. — Facebook/FAM

PUNAH harapan beberapa kelab domestik dan luar negara apabila pemain sayap lincah, Safawi Rasid berpendirian teguh akan terus kekal menyarung jersi juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Safawi yang dikaitkan dengan beberapa kelab tempatan seperti Terengganu FC (TFC), Sri Pahang FC dan pasukan Indonesia, Persib Bandung antara yang beratur merebutkan khidmatnya selepas pulang dari pinjaman di Ratchaburi FC.

Pemain kelahiran Terengganu itu hanya sempat beraksi selama hampir enam bulan di Liga Thailand dan membantu Ratchaburi menamatkan saingan Liga Thailand 2022/2023 di kedudukan kelapan liga.

“Lepas balik dari Thailand ini saya akan kekal di JDT, ia keputusan muktamad,” katanya memetik laporan dari Harimau Malaya.

Safawi yang ditemui selepas aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon itu juga mengakui bahawa satu jaringannya untuk skuad kebangsaan pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu itu hasil latihan berintensiti tinggi di JDT.

Lebih menarik, jaringan tersebut juga didedikasikan khusus untuk isterinya, Syifa Melvin yang kini hamil enam bulan.

“Apabila pulang ke JDT dari Thailand, saya berlatih kira-kira sebulan dengan intensiti yang tinggi, sebelum dan selepas sesi latihan pun ada buat latihan tambahan sendiri.

"Jadi ia membantu saya kekalkan prestasi saya, kerana di Thailand pun ada perlawanan yang saya turun dan ada yang tidak," katanya.

WhatsApp Image 2023-06-15 at 08.21.30

Tangkap layar ciapan dari BR Football.

Jaringan pada minit ke-77 Safawi yang disudahkan dengan percubaan voli kaki kiri dianggap bertaraf pemain kelas dunia oleh media luar sukan negara, Bleacer Report Football dan menurut mereka ia boleh dihantar ke Anugera Puskas.

Hasil sumbangan jaringan dari dua tonggak naturalisasi, Paulo Josue dan Lee Tuck selain gol pemain muda, Arif Aiman dan Safawi memastikan Harimau Malaya menang dengan keputusan selesa 4-1 ke atas Kepulauan Solomon bagi aksi persahabatan Tier 1 pada Rabu.

Anak-anak buah Kim Pan-gon bakal berdepan Papua New Guinea untuk aksi persahabatan kedua pada 20 Jun di venue sama sebelum kalendar FIFA dilabuhkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram