Nasib Lee Tuck diketahui Selasa depan


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Rembatan kencang Tuck menghadiahkan gol terakhir buat Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak senang duduk memikirkan nasib yang menimpa tonggak utama Sang Kenari, Lee Tuck apabila difahamkan pemain tengah itu ditimpa dengan masalah kecederaan sewaktu mewakili Malaysia dalam aksi persahabatan pada Rabu.

Harimau Malaya berhasil merekodkan kemenangan mereka pada aksi persahabatan edisi Jun dengan menumpaskan Kepulauan Solomon 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Rabu.

Salah satu jaringan skuad kebangsaan diperoleh hasil daripada cetakan Tuck di hujung babak perlawanan dan selebihnya disumbang oleh Paulo Josue, Arif Aiman serta jaringan dari Safawi Rasid pada minit ke-77.

Difahamkan Tuck yang masuk sebagai pemain gantian tidak dilihat dikenakan asakan yang terlalu keras daripada pemain Kepulauan Solomon.

Namun, sejurus dia menjaringkan gol pada masa tambahan, dia dilihat tidak selesa ketika meraikan jaringan sambil memegang pahanya dan lututnya.

Tidak lama selepas itu, Tuck memberikan signal kepada pihak perubatan Harimau Malaya untuk meminta diusung keluar.

HM

Tuck bersama rakan sepasukan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Keadaan pemain kelahiran England itu bagaimanapun masih tidak diketahui sehingga kini berikutan tiada lagi laporan rasmi dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tuck diusung keluar oleh pihak perubatan.

Sama ada pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan serius ataupun sebaliknya, nasib Tuck akan diketahui pada Selasa depan yang mana ketika aksi Harimau Malaya akan berdepan Papua New Guinea pada 20 Jun di venue sama.

Dalam masa sama, penyokong Hijau Kuning juga rata-ratanya berharap agar pemain tengah mereka itu segera pulih sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 23 Julai ini.

Tuck merupakan antara pemain utama Nafuzi Zain musim ini dan kepercayaan jurulatih itu dibalas dengan empat jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram