
BEKAS teman wanita tonggak sayap Manchester United, Antony Matheus dos Santos mendakwa pemain antarabangsa Brazil itu melakukan keganasan fizikal semasa mereka bercinta.
Saluran sukan terkemuka Amerika Selatan, Globo Esporte melaporkan Gabriela Cavallin memfailkan laporan polis di Sao Paulo, Brazil dengan menuduh pemain itu melalukan keganasan sehingga mendatangkan kecederaan pada tubuhnya, selain membuat ugutan terhadapnya.
Dalam laporan pihak polis itu dikatakan turut mengandungi foto beberapa kesan cedera dan mesej ugutan daripada bekas penyerang Ajax itu.
Cavallin, 22, mendakwa Antony menyerangnya pada 20 Mei, hari yang sama ketika pemain berusia 23 tahun itu diturunkan sebagai pemain United dalam aksi menewaskan Bournemouth 1-0 bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Daily Star Sport menghubungi United untuk mendapatkan komen namun setakat ini kelab gergasi England enggan mengulas isu berkenaan.
Cavallin yang merupakan seorang DJ, model dan pempengaruh media sosial itu sebelum ini mendedahkan dia mengalami keguguran pada Jun 2022 ketika dia dan Antony menantikan anak pertama mereka.
Bekas teman wanita Antony, Cavallin. — Instagram
Antony dipercayai berkahwin dengan Rosilenny Batista apabila dia menyertai United dari Ajax dalam pada musim panas lalu dan mempunyai seorang anak lelaki bersama pasangan baharunya itu.
United melabur banyak untuk membawa masuk Antony bagi membantu di bahagian serangan selepas ketiadaan Mason Greenwood.
Bulan lalu Daily Star melaporkan bahawa pengurusan Manchester United akan berunding dengan pihak berkepentingan termasuk pasukan wanita mengenai masa depan penyerang bermasalah Greenwood.
Greenwood kekal digantung sementara sambil menunggu siasatan kelab.
Penyerang England itu didakwa atas cubaan merogol dan bertindak ganas terhadap seorang wanita pada 2022.
Tuduhan itu sudah digugurkan tiga bulan lalu, tetapi kerjaya penyerang masih tidak menentu sejak dia disekat daripada kembali berlatih bersama skuad Erik ten Hag.
United mengesahkan siasatan dalaman masih belum selesai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram