WALAUPUN menjadi musuh dalam padang ekoran mewakili kelab berbeza, namun ia bukan alasan sebahagian pemain bola sepak di Liga Malaysia (Liga M) mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tonggak dari pasukan lain.
Seperti pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo yang mengakui mempunyai hubungan baik dengan sahabat karibnya iaitu rakan senegara, Fernando Forestieri dari Johor Darul Takzim (JDT).
Walaupun kedua-dua pemain itu terpaksa 'bermasam muka' ketika kedua-dua musuh tradisi tersebut sedang beradu kekuatan, namun ia bukan penghalang buat Hidalgo dan Forestieri untuk kekal berhubung di luar padang.
Hubungan dua pemain dari Argentina itu bermula ketika kedua-duanya masih bergelar sebagai pemain Sheffield Wednesday iaitu kelab yang kini beraksi di Football League One, liga ke-3 dalam hierarki bola sepak Inggeris.
Walaupun tidak pernah beraksi bersama dalam perlawanan kompetitif, kedua-duanya pernah berkongsi kelab dan jurulatih sama pada musim terakhir mereka diikat kontrak bersama kelab berkenaan pada musim 2020.
Tangkap layar foto Hidalgo di Instagram Story. — Instagram
Oleh itu, tidak hairanlah jika sebelum ini tersebar gambar dua pemain dari negara Amerika Latin itu meluangkan masa bersama-sama bercuti di sebuah lokasi pelancongan negara.
Mengesahkan hubungan dengan tonggak sayap Harimau Selatan itu, Hidalgo mengakui bahawa dia sudah menganggap Forestieri seperti abang kandung dengan memberitahu bahawa pemain berusia 33 tahun sering mengambil berat terhadap dirinya.
“Saya memang selalu bercuti dengan Forestieri. Dia seperti abang kepada saya, saya kenal dia sekitar tujuh atau lapan tahun dahulu.
“Kami mempunyai ejen yang sama jadi kami banyak meluangkan masa bersama sejak dahulu. Rasa seronok kerana dia ada sepanjang saya berkelana di sini (Malaysia),” katanya kepada Majoriti.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Hidalgo mendedahkan bahawa tidak menolak idea untuk menyertai Harimau Selatan dan menjadi rakan sepasukan Forestieri.
“Mungkin tapi kita tidak tahu. Ia boleh jadi tapi saya tidak tahu. Namun sekarang saya memang berikan sepenuh hati untuk Kedah,” katanya ketika ditanya mengenai idea sertai JDT.
Hidalgo meluangkan masa lapangnya bersama teman wanitanya.
Dalam pada itu, pemain berusia 24 tahun itu juga sempat berkongsi aktiviti kegemarannya ketika jadual lapang daripada sebarang perlawanan liga ataupun perkara berkaitan kelab.
“Saya memang sangat suka bercuti, ia seperti terapi untuk saya terutamanya selepas saya berkerja keras. jadi itu masa untuk saya rehatkan minda dan luangkan masa bersama teman wanita saya.
“Di Malaysia sekarang saya sangat suka ke Penang sebab dekat dengan Kedah. Saya juga suka ke Pulau Perhentian, Langkawi,” tambahnya.
Hidalgo kekal konsisten memberikan persembahan cemerlang dengan statistik menunjukkan pemain berketinggian 1.67 meter itu beraksi penuh 90 minit dalam empat perlawanan dari 12 perlawanan, selain menyumbangkan tiga jaringan dan lima bantuan hantaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram