'Pemain dah tiada hati', Nurshamil akui penat dengan isu dalaman TRW, beri hint perpindahan ke kelab jiran


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Nurshamil mula menabur bakti bersama Kelantan sejak musim 2021. — Instagram/Shamil

SELEPAS bekas bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong, giliran tonggak dan bekas pemain Kelantan FC mulai berani tampil membuka pekung pihak pengurusan pasukan Pantai Timur itu.

Seperti baru-baru ini, penjaga gol, Farhan Abu Bakar menceritakan suasana sebenar yang dialami pasukan berkenaan sehingga menyifatkan pihak pengurusan skuad The Red Warriors (TRW) tidak berperikemanusiaan.

Menerusi satu audio yang dimuat naik pemain kelahiran Kedah itu, seorang individu dipercayai wakil pengurusan menghamburkan kata-kata kurang kurang sopan selepas bekas pemain meminta gaji tertunggak.

Tidak habis di situ, beberapa tonggak Kelantan juga semakin berani meluahkan kekecewaan mereka terhadap kelab di laman media sosial walaupun ada di antara mereka masih berstatus sebagai pemain Kelantan FC.

Dalam perkongsian potongan daripada siaran TikTok secara langsung, beberapa pemain termasuk Fazrul Amir, Ikhwan Yazek dan Nurshamil Abd Ghani berkongsi luahan mengenai masalah dalaman Kelantan.

Tanpa berselindung, penyerang TRW tersebut berkongsi kepada penyokong bahawa selepas pelbagai kemelut dalaman yang seperti tiada penamat itu, kebanyakan pemain Kelantan kini sudah tiada hati beraksi demi pasukan tersebut.

WhatsApp Image 2023-05-31 at 10.02.32

Tangkap layar live TikTok tersebut.

Bukan itu sahaja, pemain berusia 28 tahun itu juga seperti memberi petunjuk bahawa dia kini sedang mempertimbangkan tawaran untuk ke pasukan Kelantan United FC (KUFC) dan secara tidak langsung akan meninggalkan TRW dalam masa terdekat.

“Kelantan ini pemain dah tiada hati... Hati tak tahu duduk mana, seorang duduk Kedah. Aku ini nak pergi KU (Kelantan United FC),” katanya.

Tidak pasti sama ada ia hanyalah gurauan namun pengakuan dari Nurshamil itu menguatkan desas-desus penghijrahan pemain 'bintang' Kelantan ke pasukan jiran pada jendela perpindahan kedua nanti.

Meskipun pemilik TRW Norizam atau Zamsaham sudah memberikan sedikit pencerahan berkaitan isu panas iaitu masalah gaji yang membelenggu pasukan TRW di media sosialnya, namun barisan pemain seperti sudah muak dengan 'drama' usahawan tersebut itu.

Menurut Zamsaham, dia sudah melunaskan gaji yang ditahan 50 peratus sebelum ini meskipun Kelantan tidak berjaya mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan seperti yang dimahukan.

Tambahnya, semua pemain Kelantan FC mendapat gaji penuh walaupun mungkin pembayaran dibuat sedikit lewat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram