Sebelum dibuang Atlas, Benjamin Mora ajak JDT beradu kekuatan


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Selepasa tiga bulan tinggalkan JDT, Mora mulai mengendali Atlas FC pada Oktober 2022. — Instagram/Mora

BENJAMIN Mora yang kini merupakan pengendali baharu kelab Liga Mexico, Atlas FC menyatakan hasrat untuk beradu kekuatan menentang bekas pasukannnya, Johor Darul Takzim (JDT) pada suatu hari nanti.

Jika dilaksanakan, perlawanan persahabatan itu pastinya akan memori terbaik buat pengendali kelahiran Mexico untuk melihat bekas kelab dan pasukan yang dikendalinya kini beradu kekuatan.

Selepas meninggalkan JDT pada Julai 2022, Mora dilantik sebagai pengendali baharu kelab Liga Mexico, Atlas FC namun kini dia menjadi mangsa ejekan penyokong Atlas.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Mora di laman media sosial Instagram miliknya yang mana pengendali berusia 43 tahun itu membalas komen pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Apa yang menarik perhatian mengenai hasrat Mora itu adalah bekas jurulatih JDT II berkenaan berharap agar aksi persahabatan tersebut akan dilaksanakan sebelum dia digugurkan sebagai pengendali Atlas FC.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 16.54.25

Tangkap layar komen dari Mora.

“Bos bila kita boleh pergi ke Johor dan bermain menentang JDT? Lebih baik sebelum mereka pecat saya. Tahniah di atas pencapaian cemerlang dalam semua saingan,” kata Mora.

Masa depan bekas penolong jurulatih Cafetaleros itu bersama Atlas semakin samar selepas Mora mendapat kritikan kecaman habis-habisan daripada penyokong kelab itu susulan prestasi buruk mereka.

Sebelum ini kecoh apabila penyokong kelab Mexico itu memberi ejekan 'boo' kepada Mora dan diminta untuk meninggalkan Atlas secepatnya.

Namun ketika Atlas mengalami penurunan prestasi, Mora tidak terfikir untuk meninggalkan Atlas dan akan sentiasa fokus untuk memberikan terbaik buat pasukan itu.

Untuk rekod, Atlas kini menghuni kedudukan kesembilan dari 18 pasukan dalam saingan Liga MX dengan hanya merekodkan empat kemenangan, sembilan seri dan empat kekalahan sepanjang 17 perlawanan setakat ini.

Mora antara pengendali paling berjaya dalam sejarah kelab dengan mengemudi empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa Harimau Selatan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC pada tahun lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram