BOLA sepak Malaysia memerlukan reformasi dari semua peringkat sama ada dari pengurusan tertinggi hingga ke peringkat kelab atau negeri.
Pandangan itu diutarakan seorang pengguna Facebook, Syed Khairi Amier menerusi satu hantaran status pada Isnin.
Syed Khairi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC berpendapat, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menambah baik sistem liga dan pembangunan liga akar umbi dahulu.
Menurutnya, perkara itu sangat penting dalam usaha melahirkan pemain yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.
TANGKAP layar status Syed Khairi pada Selasa. — Facebook
"Setiap kali skuad utama negara gagal dalam apa jua misi, maka akan kedengaran suara-suara yang meminta Ketua Jurulatih meletak jawatan dan digantikan dengan Ketua Jurulatih sana sini.
"Hakikatnya, sudah berapa ramai Ketua Jurulatih ditukar dan kita tetap gagal," katanya.
Syed Khairi berkata, dia sendiri pernah bertanya kepada Penasihat Teknikal Kelab Kerteh FC, Oscar Riera bagaimana dengan sistem liga pembangunan di Sepanyol dan berapa jumlah perlawanan sebelum mereka ke peringkat senior.
Sebagai rekod, Oscar juga adalah bekas Pengurus Sukan Antarabangsa kelab La Liga, RCD Espanyol.
Menurutnya, kebiasaannya di Sepanyol rata-rata pelatih dan pemain sebelum mereka ke peringkat senior akan bermain minimum 500 perlawanan yang bermula sejak mereka berumur lapan tahun hingga ke 18 tahun.
"Bagaimana cara mereka mencapai 500 perlawanan ini? Cara mereka mencapai 500 perlawanan ini adalah dengan mewujudkan liga-liga yang kompetitif di peringkat akar umbi seperti Benjamin untuk kategori U10, Alevi untuk U12, Infantil U14, Cadet U16 dan Juvenil untuk U18.
"Menerusi 500 perlawanan itu, semusim minimum 32 adalah perlawanan rasmi liga dan piala manakala selebihnya pramusim dan perlawanan persahabatan," jelas Syed Khairi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi setiap liga-liga itu pula, ia dijalankan mengikut regional dan bukan satu liga yang berbentuk lawan seluruh negara seperti di Malaysia.
Katanya, ini bertujuan untuk meramaikan pool talent dan memberi peluang kepada lebih ramai pelatih atau pemain merasai pengalaman bermain di liga yang kompetitif.
"Itu baru kategori liga, belum lagi cerita jumlah division setiap kategori. Liga Juvenil U18 mempunyai lima division iaitu Honor (D1), Nacional (D2), Preferente (D3), Primera (D4) dan Segunda (D5).
"Liga ini sangat kompetitif dan berkuasa kerana di liga inilah kelab-kelab besar menandatangani pemain U18 untuk pasukan 'B' mereka.
"Inilah sistem liga pembangunan di negara Sepanyol, sebab itulah mereka mampu melahirkan pemain-pemain yang berdaya saing dan menjadi kuasa besar dalam sukan bola sepak," katanya lagi.
TANGKAP layar status Syed Khairi pada Selasa. — Facebook
Beliau mengakui mungkin industri bola sepak negara tidak sebesar mereka tetapi ia boleh dimulakan dengan langkah pertama iaitu mewujudkan liga peringkat umur di peringkat daerah dahulu.
Menurutnya, liga itu kemudian disusuli dengan negeri dan regional sebelum diakhiri di peringkat kebangsaan.
"Ini baru liga akar umbi ya, belum lagi liga peringkat senior yang ada 10 division dari atas sampailah ke bawah.
"Selain itu, lagi satu nasihat beliau (Oscar) kepada kami kena sparring dengan pasukan yang berlatih setiap minggu," ulasnya.
Majoriti sebelum ini melaporkan, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe wajar diberi peluang kedua kerana penukaran jurulatih tidak akan mengubah ekosistem bola sepak negara yang memiliki kerenah birokrasi tersendiri.
Pemerhati sukan, T. Avineshwaran berkata, persembahan buruk dan kekalahan skuad negara di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 tidak sepatutnya diletakkan di bahu Cheng Hoe semata-mata.
"Bagaimana dengan pihak atasan? Pengurus, persatuan dan pemegang taruh juga harus mengambil tanggungjawab masing-masing atas kekalahan pasukan negara," persoalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram