Masa depan hoki Malaysia cerah, Young Tigers menang besar di Oman


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Para pemain hoki remaja lelaki kebangsaan meraikan jaringan ketika berpesta gol membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pertama Piala Remaja Asia 2023 di Oman.

PENGENDALI Malaysia, Amin Rahim mengingatkan pesanannya bahawa mereka mesti kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan selepas mereka membuat permulaan yang memberangsangkan dalam Piala Asia Remaja di Salalah, Oman pada Selasa.

Malaysia membelasah Uzbekistan 8-1 dalam perlawanan pembukaan mereka tetapi bukan mengenai pesta gol, Amin sebaliknya lebih bimbang tentang gol lewat yang dibolosi oleh pasukan lawan.

Shavkatjon Kakhramonov menjaringkan gol padang pada minit ke-55 untuk Uzbekistan selepas Malaysia mendahului 8-0 pada minit ke-52.

T. Perabul menjaringkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti (minit ketujuh, kesembilan dan ke-18) manakala pukulan sudut penalti keempat disempurnakan oleh Che Nur Aqilrullah Che Khairulzi Anwar pada minit ke-27.

Malaysia menjaringkan gol menerusi Alfarico Lance Liau Jr (ke-12), Shahmie Irfan Suhaimi (ke-26), Mughni Mohd Kamal (ke-43) dan Adam Ashraf Johari (ke-52).

"Secara keseluruhan, ia adalah persembahan yang baik tetapi pemain mengambil mudah pada separuh masa kedua dan ia menyebabkan Uzbekistan menjaringkan gol.

"Kami perlu kekal fokus sepanjang 60 minit. Dalam perlawanan antarabangsa, pihak lawan akan membalas dengan gol jika kita hilang fokus.

"Kami menjaringkan empat gol daripada pukulan sudut penalti tetapi ia bukan kadar yang baik kerana kami memperoleh 12 gol dalam perlawanan itu," katanya.

Namun, jelas Amin, anak-anak buahnya berjaya menebusnya dengan menjaringkan empat gol padang.

"Kami mempunyai rehat sehari untuk menganalisis perlawanan dan membetulkan kesilapan kami, dan bersedia dengan baik untuk perlawanan seterusnya menentang Bangladesh.

"Kami telah menyaksikan perlawanan antara Bangladesh dan Oman dan akan bersedia dan bermain dengan lebih baik," katanya.

Kemenangan ke atas Bangladesh, yang menewaskan Oman 2-0 dalam perlawanan pembukaan mereka, pada Khamis akan meningkatkan peluang Malaysia untuk ke separuh akhir.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan B dijangka mara ke empat terakhir bersama Korea Selatan.

Aksi Kumpulan A pada Selasa turut menyaksikan Pakistan membelasah Taiwan 15-1 manakala Jepun menewaskan Thailand 7-1. Kumpulan A: Pakistan lawan Thailand (12 pagi, esok); Jepun lawan India (9.45 malam). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram