SAINGAN Liga Super 2023 antara Kedah Darul Aman (KDA) menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman dijangka berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan tentunya tidak mahu kehilangan tiga mata penuh.
Malah ia menjadi perlawanan yang cukup penting buat pemain The Red Warriors (TRW) kerana kemenangan itu akan membantu mereka mendapatkan gaji penuh.
Ini selepas gaji mereka dipotong sebanyak 50 peratus ekoran hanya mencatatkan satu kemenangan, lapan kekalahan dan hanya seri sekali daripada 10 perlawanan.
Justeru kemenangan yang dicari dalam aksi tersebut dianggap sebagai melunaskan tuntutan pemilik kelab, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham yang mahu pemain membawa pulang tiga mata sebagai syarat mendapatkan gaji penuh.
Pemain KDA FC giat menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Kelantan FC. — Facebook/ KDA FC
Peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong TRW berharap pemain-pemain Kelantan dapat memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan.
Mereka menyeru agar pemain tidak mudah mengalah memandangkan Kedah Darul Aman FC berada dalam keadaan lebih baik.
"Ayuh Kelantan kekalkan rekod tanpa kalah, semoga dapat penuh," kata Amar Zaffie.
"Gomo Klate Gomo, harap pemain buat yang terbaik untuk Kelantan," kata Nur Athirah pula.
Bagaimanapun, skuad Hijau Kuning juga enggan memberi laluan mudah kepada Kelantan kerana mereka juga memerlukan kemenangan untuk melonjakkan diri ke kedudukan lebih baik.
Berdasarkan kedudukan terkini, KDA FC berada di tangga kelima dengan 19 mata selepas mencatat 6 kemenangan dalam 10 perlawanan.
Kelantan FC pula berada di tangga ke-13 dengan empat mata daripada 10 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram