ISU gaji pemain prolifik Selangor FC, Faisal Halim yang sudah 'sejuk' tiba-tiba kembali hangat diperkatakan di media sosial.
Ini selepas laman penyokong Harimau Selatan X dalam satu perkongsian di Facebook memuat naik gambar kereta jenis Mercedes Benz hatchback milik Faisal.
Foto itu disertai kapsyen berbunyi, "Betullah dia tak pakai kereta RM500k, tapi dia pakai kereta RM450k."
Hantaran tersebut seolah-olah mempertikaikan kenyataan Faisal yang sebelum ini sudah menafikan menerima bayaran lumayan sehingga RM80,000 di Selangor FC.
Ia seolah-olah mahu menyampaikan mesej bahawa dengan gaji setinggi itu, Faisal mampu membayar ansuran kereta sehingga RM4,582 sebulan.
Namun admin Harimau Selatan X dikatakan kurang cerdik kerana model kereta Faisal iaitu Mercedes Benz A180 Hatchback 2019 dibandingkan dengan harga Mercedes Benz AMG A45 S Hatchback 2020.
"Lawaklah kau ni admin, hidup buat dosa saja atas dunia ni. Saya punya model A180 tahun 2019 cuba cek berapa harga...fitnah je kerja awak hari-hari," kata Faisal Halim di ruangan komen.
Pemain sayap kebangsaan itu juga menjelaskan bahawa kereta itu dipakai ketika dia bersama Terengganu FC lagi.
"Sebelum di Selangor lagi, masa saya di Terengganu, saya dah pakai kereta ini, di Terengganu gaji saya 80k ke?
"Kalau tiada kerja, mari kerja dengan saya. Pergilah cari pemain lain pula, kejap-kejap (usik) saya, bosanlah," katanya.
Dia juga musykil bagaimana Harimau Selatan X boleh dapat gambar keretanya itu.
"Ini gambar semalam ni, saya letak kereta dekat situ, jadi siapa yang ambil gambar ni...haha pelik juga kan," katanya.
Semakan Majoriti di carlist.my dan Mudah.com mendapati harga Mercedes Benz A180 2019 dalam lingkungan RM175,0000 hingga RM209,000 dengan ansuran bulanan serendah RM2,269.
Harga Mercedes Benz AMG pula antara RM415,000 hingga RM459,888. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram