Kemarau 12 tahun skuad Peteh, kenali 8 jurulatih kemudi TFC sejak kali terakhir juarai Piala FA 2011


  • Podium
  • Rabu, 17 Mei 2023

Skuad Terengganu kali terakhir menjuarai Piala FA ialah pada 2011 di bawah bimbingan Irfan Bakti. — Facebook

SELEPAS kali terakhir menjulang Piala FA pada 2011, Terengganu FC (TFC) terus kempunan memburu gelaran juara kejohanan domestik itu.

Ketika itu, Irfan Bakti yang mengemudi TFC turut memacu kejayaan skuad Sang Penyu untuk meraih kejuaraan Liga Super 2011 dan Piala Malaysia.

Kemarau selama hampir 12 tahun untuk memenangi trofi domestik itu hampir sahaja ditamatkan tahun lepas ketika TFC layak sebagai semi finalis.

1689508

Kejayaan TFC ke peringkat akhir disaksikan oleh lebih 30,000 penonton di laman sendiri. Bernama

Skuad Peteh di bawah kendalian Nafuzi Zain ketika itu, bagaimanapun tewas kepada pasukan pilihan, Johor Darul Takzim (JDT) dan hanya mampu berpuas hati sebagai naib johan.

Meskipun demikian, sebagai naib juara Liga Super 2022, TFC layak ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 manakala JDT pula menempah slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.

Berikut merupakan senarai ketua jurulatih TFC sejak kali terakhir skuad Hitam Putih menjuarai Piala FA 2011.

61556436595_matzan

Mat Zan ketika mengendalikan Negeri Sembilan FC. — Stadium Astro

1. Mat Zan Mat Aris (2012)

Mat Zan mengendalikan skuad Terengganu bagi musim 2012, namun jodohnya tidak lama selepas dia meletak jawatan pada Mei tahun sama.

Pengendali dari Negeri Sembilan itu terdahulu direhatkan selama dua minggu, sebelum meninggalkan pasukan kerana dipercayai menjadi punca kemerosotan pasukan.

Mat Zan mempunyai sejarah di Terengganu kerana pernah mengemudi pasukan itu pada musim 2001 hingga 2002.

Pada usia 65 tahun, dia kini bergelar Ketua Jurulatih Imigresen FC untuk membantu kelab divisyen ketiga itu mengharungi saingan Liga M3 musim ini.

peter-butler_20180726_221138

Peter pernah menjadi jurulatih kelab Indonesia, PSMS Medan. — Agensi

2. Peter James Butler (2012)

Jurulatih dari Halifax, Ireland itu menjadi pengendali Terengganu bagi menggantikan Mat Zan dengan tawaran kontrak sehingga Disember 2013.

Namun, jodohnya lebih singkat daripada yang disangka apabila hanya menjawat jawatan ketua jurulatih selama 109 hari berbanding Mat Zan (151 hari).

Pada 17 September 2012, Peter dikenakan hukuman penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) selama enam bulan.

Ia selepas Peter dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

PBSNT kemudian bertindak membatalkan kontrak jurulatih tersebut melalui sepucuk surat yang dihantar kepadanya.

ed81c133d531dc930d9c8b0b0db12d0560365141384c7

Selain Terengganu, Elavarasan pernah mengemudi skuad Sarawak United. — Sarawak Crocs

3. E Elavarasan (2013)

Elavarasan diumumkan sebagai jurulatih Terengganu dengan kontrak setahun untuk musim Liga Super 2013 bagi menggantikan Peter.

Di bawah kendalian Elavarasan, TFC hanya menduduki tangga kesembilan dengan 27 mata.

Jurulatih berusia 58 tahun kelahiran Selangor itu kini mengemudi skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan.

fc_Abdul-Rahman-Ibrahim-Terengganu-head-coach_an_1296x729

Abdul Rahman pernah mengendalikan skuad Terengganu pada 1983, 1998 dan 2013. — Terengganu FA

4. Abdul Rahman Ibrahim (2014-2015)

Abdul Rahman pada usia 67 tahun dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi menggantikan Elavarasan.

Anak jati Terengganu itu memulakan karier kejurulatihan di skuad Terengganu bawah 20 tahun pada 1972 hingga 1975.

Kali pertama Abdul Rahman bersama skuad senior Terengganu adalah pada 1983 selama setahun sebelum kembali buat kali kedua pada 1998 yang menyaksikan skuad Penyu mara sebagai semi finalis Piala Malaysia.

Dia kemudian membimbing pasukan lain antaranya Selangor (2001), menjadi pengarah bola sepak Terengganu (2003), jurulatih Kelantan TNB FC (2004), Perlis (2005), Deltras Sidoarjo (kelab Indonesia) (2008) dan PKNS FC (2009-2013).

Pada hujung musim 2013, Abdul Rahman sekali lagi menjadi ketua jurulatih Terengganu sebelum 'direhatkan' pada Jun 2015 kerana pengendali berusia 69 tahun itu gagal membuahkan kemenangan dalam aksi liga.

Terengganu di bawah bimbingannya ketika itu tewas kesemua enam perlawanan, dan berada di kedudukan kelapan liga daripada 12 pasukan dengan mengumpul 14 mata.

ahmad-yusof-800x533

Ahmad Yusof menjadi antara jurulatih Liga Super terawal yang direhatkan pada musim 2016. — Stadium Astro

5. Ahmad Yusof (2015-2016)

Ahmad Yusof yang merupakan penolong jurulatih Terengganu bagi musim 2014 hingga 2015, mengambil alih tugas mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Super 2015.

Sebagai jurulatih interim, dia berjaya memulihkan prestasi Terengganu untuk berada di kedudukan keempat carta liga dengan 38 mata daripada keseluruhan 22 perlawanan.

Ahmad Yusof kemudian dilantik menerajui skuad Penyu bagi musim 2016 pada usia 55 tahun.

Jodohnya bagaimanapun tidak panjang selepas menjadi mangsa pertama pengendali pasukan 'direhatkan' untuk musim 2016 walaupun saingan baru memasuki tiga perlawanan.

Tempatnya diambil alih penolong jurulatih, Mike Mulvey pada Februari 2016.

462543-ca65340c-6adb-11e3-a184-cfa98bc96cc6

Mike antara lain memiliki pengalaman mengendalikan skuad Brisbane Roar FC. — Agensi

6. Mike Mulvey (2016)

Mike mengalami nasib sama dengan pengendali terdahulu, Ahmad Yusof apabila 'direhatkan' pada Julai 2016 susulan prestasi buruk Terengganu.

Jurulatih kelahiran Manchester, England tersebut berusia 53 tahun ketika itu.

Dia digantikan dengan Mustaffa Kamal dan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor sebagai jurulatih interim bagi mengharungi baki saingan liga.

Bagaimanapun gandingan kedua-dua jurulatih itu gagal menyelamatkan Terengganu apabila ia terperosok ke tangga tercorot Liga Super sekali gus tersingkir ke Liga Perdana 2017.

51606807037_JurulatihTerengganu

Irfan menjadi jurulatih kesayangan Terengganu kerana berjaya memulihkan imej pasukan Sang Penyu. — Bernama

7. Irfan Bakti (2017-2019)

Irfan dibawa masuk ke Terengganu dengan tugas berat untuk memulihkan prestasi pasukan itu dan mengembalikan zaman kegemilangannya ketika menjuarai Piala FA 2011.

Ketika itu, Irfan yang berusia 65 tahun diminta oleh PBSNT untuk memilih barisan pengurusan skuad Penyu termasuk penolong jurulatih yang mana Nafuzi dilantik sebagai pembantu jurulatih.

Skuad Penyu bagaikan mendapat sentuhan magis apabila memperoleh semula tempat di saingan Liga Super selepas menduduki tangga kedua Liga Perdana di belakang KL City FC.

Irfan kekal milik Terengganu bagi musim 2018 dengan prestasi memberangsangkan selepas menempatkan diri di tangga kelima carta Liga Super dengan 31 mata.

Skuad Peteh juga berpeluang menjulang gelaran naib juara Piala Malaysia selepas tewas dengan sepakan penalti 1-4 kepada Perak FC.

Irfan bagaimanapun meletak jawatan pada 16 Mei 2019 apabila Terengganu mengalami kekalahan memalukan kepada PJ City selain gagal mara ke separuh akhir Piala FA.

61664512585_NafuziZain

Terengganu muncul naib juara Piala FA di bawah bimbingan Nafuzi. — Bernama

8. Nafuzi Zain (2020-2022)

Tugas membimbing skuad Terengganu FC diletakkan di bawah tanggungjawab Nafuzi buat sementara susulan peletakan jawatan Irfan.

Pengendali muda berusia 45 tahun itu sah dilantik ke jawatan tersebut pada 15 Oktober 2019 bagi menghadapi saingan Liga M bagi musim 2020.

Terengganu di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan itu berada di tangga ketiga liga pada 2020 dan kedudukan keempat pada 2021.

Skuad Peteh turut menikmati satu musim yang amat cemerlang pada 2022 apabila Nafuzi berjaya menempatkan Sang Penyu sebagai naib juara Liga Super 2022, sekali gus meraih tiket Piala AFC 2023.

Terengganu juga muncul naib juara Piala FA selepas tumpas kepada JDT selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Pada hujung musim, Nafuzi akhirnya berpindah ke utara tanah air sebagai ketua jurulatih baharu Kedah Darul Aman FC musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram