Faisal Halim berkobar-kobar, Brendan Gan melawak tak kenal anak, 5 pemain HM kongsi makna 'wallpaper' masing-masing


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Gambar wallpaper Faisal (kiri) dan Khuzaimi (kanan). — Instagram Selangor FC

TELEFON pintar merupakan gajet peribadi yang digunakan untuk pelbagai fungsi selain sebagai medium komunikasi.

Justeru penggunaannya meliputi pemilihan kertas dinding skrin (wallpaper) dan nada dering secara tidak langsung menunjukkan identiti serta keperibadian masing-masing.

Ini termasuklah dalam kalangan pemain bola sepak yang memiliki populariti tersendiri di hati penyokong sukan tersebut.

Baru-baru ini, Selangor FC berkongsikan rakaman reels Instagram pendek dan santai mengenai pemain-pemainnya yang diminta menunjukkan wallpaper telefon bimbit masing-masing.

photo1683865318

Faisal menunjukkan wallpaper telefon pintarnya. — Instagram Selangor FC

Antara pemain yang diterjah team media sosial Selangor FC ialah Faisal Halim, Sharul Nazeem, Quentin Ching, Brendan Gan dan Khuzaimi Piee.

Siapa tidak kenal dengan kelima-lima pemain tersebut memandangkan mereka juga pada masa sama ialah pemain skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Dalam perkongsian itu, Faisal menunjukkan wallpaper yang digunakan ialah foto salah satu aksinya bersama Selangor FC musim ini.

"Kenapa letak gambar ini?" tanya juruvideo kepada pemain sayap Gergasi Merah itu.

Faisal sambil tersenyum menjawab fotonya itu ada makna tersendiri iaitu menunjukkan semangatnya yang berkobar-kobar.

photo1683865611

Sharul Nazeem menunjukkan wallpaper telefon bimbitnya. — Instagram Selangor FC

Berbeza dengan Faisal, pemain Harimau Malaya lain memilih foto dengan elemen kekeluargaan untuk wallpaper telefon pintar masing-masing.

Quentin misalnya menunjukkan foto bersama ibu yang menjadi tetapan kertas dinding skrin telefon pintarnya.

"Ini ibu saya, saya rindukan dia. Dia di Australia, jadi saya rindukannya," katanya sambil dicelah oleh penjaga gol Gergasi Merah, Sam Somerville yang mengatakan dia ialah 'Mummy's boy' atau anak emak.

photo1683866440

Brendan (kiri) dan Quentin menggunakan gambar keluarga sebagai wallpaper. — Instagram Selangor FC

Sharul Nazeem yang juga pemain pertahanan Harimau Malaya pula menggunakan foto kedua-dua ibu bapanya sebagai wallpaper.

"Ini tanda saya menghargai orang tua," ujarnya.

Menerusi satu hantaran reels berbeza, Khuzaimi turut berkongsikan wallpaper gambar dia di samping isteri dan anak-anaknya.

"Apabila tengok gambar ni, lepas lah rindu kita bila kena travel jauh," kata bekas tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC itu.

Brendan Gan pula meletakkan gambar dua orang cahaya matanya sebagai wallpaper telefon, namun dia dalam nada bergurau memberitahu, kanak-kanak dalam foto berkenaan ialah budak-budak yang tidak dikenalinya.

"Saya pun tak tahu. They are some random children, I don't really know them (mereka budak-budak tidak dikenali, saya tak tahu siapa mereka).

"Tetapi saya fikir ia foto yang menarik kalau buat ia jadi wallpaper telefon pintar," katanya bersahaja sambil disambut gelak ketawa kru video Selangor FC.

Kelima-lima pemain tersebut berada dalam skuad Harimau Malaya ketika kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Skuad tersebut gagal mara ke aksi final apabila dikecewakan Thailand menerusi agregat 1-3 di peringkat separuh akhir, sekali gus gagal mengulangi sejarah menjadi finalis seperti mana edisi 2018.

Pasukan itu mendapat jolokan skuad mesin kerana ketiadaan beberapa tonggak utama yang diturunkan sebelum ini ketika membantu pasukan melayakkan diri ke Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram