'Nak cari hero macam Baddrol boleh tapi...', Datuk Paktam dedah 3 pihak mainkan peranan penting


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Baddrol bermain untuk pasukan skuad Sang Kenari sejak 2006. — Instagram/Baddrol

SETIAP pasukan di Liga Malaysia (Liga M) pasti mempunyai legenda mereka tersendiri yang mana pemain tersebut merupakan tonggak utama dalam membantu kelab dari kosong sehingga merangkul pelbagai piala ataupun anugerah.

Walaupun ada di antara legenda tersebut sudah mencari angin baharu, namun penyokong masih tidak henti-henti berharap agar tonggak kegemaran kelab kekal menyarung jersi sama ataupun ada pemain baharu menyerupai mereka.

Seperti di Kedah Darul Aman (KDA) FC, rata-rata fans masih berharap agar bekas ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar kembali ke Darul Aman walaupun sudah berbakti bersama Sabah FC sejak 2022.

Perpindahan Baddrol dan rakan baiknya yang juga bekas tonggak utama Sang Kenari iaitu Rizal Ghazali masih dirasai sehingga kini ekoran dua pemain tersebut yang banyak membantu menaikkan nama Kedah.

Malah, ada sebahagian penyokong berharap agar KDA FC dapat melahirkan semula pemain seperti Baddrol dan Rizal yang mana sehingga kini mereka masih dilabel sebagai hero Sang Kenari.

Mengimbau semula ketika zaman kegemilangan Kedah dahulu, Exco Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata, watak seperti Baddrol boleh dicipta namun memerlukan peranan dari orang sekeliling.

badd paktam

Kenangan Datuk Paktam bersama duo Sang Kenari itu. — Facebook/PakTam

“Kalau kita bercakap tentang kejayaan pasukan, selalu akan ada seorang dua diangkat sebagai hero dalam padang. Hero dalam pasukan memang ada tapi pentingnya jika semua pemain dan orang sekeliling memberi segalanya untuk pasukan.

“Kalau zaman saya dulu memang orang angkat Badd, Rizal dan pemain import yang membina nama di Kedah seperti Liridon. Tapi kesemua pemain ini jadi hero kerana kerjasama pasukan,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, kehadiran seorang jurulatih yang baik, sumbangan dari rakan sepasukan dan sikap penyokong menjadi ramuan terbaik untuk membina karakter hero dalam padang.

WhatsApp Image 2023-05-15 at 20.09.36

Baddrol ketika membantu Kedah memenangi Piala FA 2019. — Instagram/Baddrol

Tambah Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Datuk Paktam itu kesetiaan seorang pemain yang bernama Baddrol dari zaman Kedah diturunkan pangkat ke saingan Liga Perdana sehingga bangkit semula pada 2015 membuatkan pemain berusia 35 tahun itu menjadi kesayangan penyokong.

“Kalau kita tengok sejarah Badd, dia bermula daripada awal. Bila saya ambil Kedah FA pada 2013, kita bina semula pasukan. Perubahan itu berjaya.

“Walaupun tak terlalu berjaya tapi Kedah boleh bangkit daripada kekalahan. Musim 2010, 2011 dan 2012 kita kalah sehingga ke divisyen dua. Kemudian dinaikkan semula 2015 kita kembalikan aura Darul Aman,” kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram