Ex kapten Kedah restu reunion semula dengan Aidil Sharin di Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 08 Mei 2023

Syazwan merupakan tonggak Kedah sejak musim 2021/2022 dan 2013 sehingga 2018. — Facebook/KDAFC

SELEPAS hampir setahun meninggalkan kancah bola sepak domestik, bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak difahamkan akan kembali ke Liga Malaysia (Liga M) tidak lama lagi.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh pengendali dari Singapura itu yang mana Aidil Sharin kini sedang mempertimbangkan sama ada menerima tawaran ke salah sebuah kelab di Pantai Timur tanah air ataupun meneruskan khidmatnya bersama Persikabo 1973.

Aidil Sharin kini sedang mencipta nama di Liga 1 Indonesia bersama Persikabo 1973 apabila berhasil menyelamatkan pasukan yang dikenali sebagai Laskar Padjajaran itu daripada tersingkir ke divisyen bawahan.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pasukan seperti Kelantan United FC (KUFC) difahamkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pengendali berusia 45 tahun itu bagi menggantikan Tomas Trucha yang kini direhatkan susulan masalah prestasi.

Meskipun belum ada sebarang kata sepakat mengenai perpindahan bekas pengendali Home United ke skuad Kijang Hijau namun tidak dapat dinafikan seorang tonggak KUFC, Syazwan Zainon menyimpan hasrat untuk beraksi semula bersama Aidil Sharin.

WhatsApp Image 2023-05-08 at 19.00.00

Aidil Sharin menerima anugerah mingguan selepas menundukkan Persib Bandung 4-1. — Instagram/Aidil Sharin

Pemain kelahiran Perlis itu sebelum ini merupakan anak didik Aidil Sharin bagi musim 2019 sehinggalah 2022 yang mana kedua-dua mereka tidak berada dalam perancangan Sang Kenari pada singan tahun ini.

"Kalau jurulatih Aidil datang ke KUFC saya memang bersyukur sebab saya sendiri tahu macam mana falsafah jurulatih Aidil dalam membawa pasukan. Tapi benda ini tak boleh terlalu yakin sama ada jurulatih Aidil akan datang ke KUFC atau pengurusan ada tawarkan.

"Bagi saya benda itu dari pihak pengurusan, mereka yang akan menilai pemain dan jurulatih. Apa pun keputusan, kami sebagai pemain atau jurulatih kena terima. Siapa pun coach yang datang kami akan beri kerjasama yang baik," katanya kepada Majoriti.

Syazwan yang kini dah berusia 33 tahun itu merupakan antara tulang belakang di sebalik kejayaan Aidil Sharin membawa Sang Kenari menjulang Piala FA pada musim pertamanya dan menjadi naib juara Piala Malaysia.

WhatsApp Image 2023-05-08 at 19.00.04

Syazwan kini beraksi bersama skuad Kijang Hijau. — Facebook/KUFC

Malah, Syazwan juga mendapat kepercayaan Aidil Sharin untuk menjadi ketua pasukan Sang Kenari sehingga mengetuai pasukan berkenaan ke peringkat kejohanan Piala AFC pada musim lepas.

Dalam pada itu, pemain Kijang Hijau itu juga menyifatkan Aidil Sharin sebagai seorang jurulatih yang tegas namun tetap disenangi oleh anak-anak buahnya ketika dia bertugas di bumi Darul Aman.

"Jurulatih Aidil seorang yang tegas tetapi dia fleksibel dengan pemain. Selepas itu dia pandai ambil hati pemain.

"Walaupun kalah, dia bukan jenis yang marah pemain depan-depan. Tapi jika dia tak datang pun, kami hormat keputusan itu," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram